Semalam Merak Jalanan beli peria untuk dijadikan ulam kerana khasiatnya yang dikatakan boleh membantu mengurangkan tahap gula dalam darah bagi mereka yang hidap diabetes.
Merak Jalanan belum lagi tahap kena kencing manis tapi kena berwaspada. Dalam keadaan sekarang, banyak makanan yang diambil dibimbangkan boleh mengundang kepada diabetes.
Lagipun bukan senang nak kawal nafsu. Banyak jenis makanan dan minuman menggiurkan yang boleh menggoda iman. Merak Jalanan sedaya upaya nak jaga kesihatan tapi apakan daya kecekalan dalam diri belum cukup kuat.
Jadi, bagi mengimbangi proses pemakanan yang boleh mengundang kepada penyakit kronik, Merak Jalanan cuba amal pengambilan sayur yang baik untuk kesihatan.
Tapi tak disangka pula peria yang mempunyai rupa bentuk sama hanya satu peratus rasa pahitnya, berbeza dengan ‘perwatakan’ peria yang kita kenali sejak sekian lama.
Merak Jalanan tertanya-tanya apa dah jadi dengan peria? Adakah peria dah direvolusikan supaya tak pahit tapi mempunyai khasiat sama sejak turun-temurun?
Semua boleh dijawab jika ada kajian dilakukan terhadap sayur dan buah-buahan sama ada masih mengekalkan khasiat yang sama. Mungkin juga boleh dibuat kajian terhadap buah lain yang rasanya begitu manis seolah-olah dicampur gula berkilogram.
Adakah ia rasa asli yang boleh memberikan manfaat kepada pemakannya atau mempunyai kesan sampingan apabila rasanya ‘luar biasa’, contohnya buah longan atau nanas.
Produk makanan penting kerana ia berkait rapat dengan pengguna dan boleh memberi risiko keselamatan kesihatan jika tidak dipantau dengan teliti.
Pada pandangan Merak Jalanan, sudah sampai masanya kita perlu lebih serius dalam soal yang melibatkan sektor makanan kerana jika tidak, rakyat akan terus mangsa kepada kesilapan kita sendiri.