Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menguatkuasakan kembali saman tembak laju atau saman ekor bagi mengurangkan jumlah kes kemalangan jalan raya adalah satu tindakan yang perlu disokong semua pihak.
Ini kerana ia adalah salah satu usaha mendidik pengguna jalan raya supaya tidak tergolong dalam statistik mangsa yang menjadi korban akibat pemanduan melebihi had ditetapkan.
Memandu melebihi kelajuan adalah salah satu punca utama kemalangan jalan raya di negara ini. Pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.
Dengan nilai kompaun RM300 yang dihantar ke rumah, jika kerap berdepan nilai denda yang sama, sudah pasti pengguna jalan raya akan serik untuk mengulanginya.
Lokasi yang menjadi hotspot kemalangan juga perlu sentiasa ditempatkan anggota trafik supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan tidak memandu dengan berbahaya.
Jika boleh tempatkan lebih ramai anggota atau kamera statik supaya pengguna jalan raya tiada ruang untuk memandu laju di kawasan yang sering berisiko berlaku kemalangan.
Antara kawasan perlu diberi perhatian serius ialah laluan menuruni bukit yang sering ‘dilanggar’ had laju kerana pemandu mengambil kesempatan keadaan struktur jalan untuk memandu laju.
Buat masa ini papan tanda amaran dan garisan merah di atas jalan belum mampu membendung kenderaan daripada dipandu dengan berhemah sewaktu menuruni bukti.
Banyak kes kemalangan terutama kenderaan berat yang dipandu laju gagal mengawal jentera dan menghentam kenderaan di hadapan atau terbabas hingga berlaku kehilangan nyawa.
Seperkara lagi harus diberi perhatian ialah kesesuaian had laju dengan keadaan jalan raya yang telah dinaik taraf.
Contohnya, terdapat jalan yang masih menetapkan kelajuan 60 kilometer sejam (kmj) sejak berpuluh tahun lalu, sedangkan laluan berkenaan telah dinaik taraf menjadi dua lorong.
Sekiranya pemandu mematuhi arahan seperti ditetapkan, sudah pasti akan berlaku kesesakan kronik hingga menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
Oleh itu, PDRM dan Kementerian Pengangkutan perlulah memainkan peranan masing-masing supaya langkah yang baik itu dapat mencapai objektif pelaksanaannya bagi memelihara nyawa rakyat Malaysia.