Rakyat Selangor diajak sambut Hari Kebangsaan di Dataran Shah Alam

Iklan
Jalur Gemilang terus berkibar menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-66 pada 31 Ogos ini dengan tema Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. - Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan negeri mengajak warga Selangor hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada Rabu.

Sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan akan bermula seawal jam 4.45 petang dengan pembukaan Program Tausiyah Perdana, Selawat dan Munajat bersama Sahibus Samahah Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Anhar Opir dan Habib Ali Zaenal Al-Hamid.

Iklan
Iklan

Acara kemudian akan diteruskan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan, nyanyian lagu patriotik selain persembahan khas oleh Zeppo Youngsterz dan artis jemputan Iman Troye, Datuk Awie serta Ziana Zain.

Ia disusuli acara perarakan dan perbarisan disertai 66 kontijen terdiri daripada jabatan kerajaan, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri serta swasta selain badan bukan kerajaan, pancaragam sekolah dan beruniform.

Iklan

Selain itu, hadirin juga bakal menyaksikan persembahan dan pertunjukan kawad senyap, pertunjukan T-Baton dan teknikal 'Rope Rescue' oleh anggota bomba serta persembahan ketenteraman awam.

Timbalan Setiusaha Kerajaan (Pengurusan), Mohamad Zahri Samingon berkata, seramai 10,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Iklan

Beliau menasihatkan orang awam untuk hadir awal bagi melancarkan perjalanan susulan beberapa penutupan jalan yang akan dilakukan.

Mohamad Zahri

"Bas perantara akan disediakan bagi kemudahan pengunjung dari lokasi tapak parkir untuk ke Dataran Kemerdekaan.

"Kerajaan negeri juga telah mendapatkan kerjasama daripada masjid negeri untuk membuka kawasan parkir. Pengunjung juga mempunyai alternatif meletakkan kenderaan di MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) serta kawasan sekitar.

"Cuma penutupan jalan akan dilakukan secara berfasa, kami mohon pengunjung meletakkan kenderaan di lokasi dibenarkan selain mematuhi arahan penguat kuasa serta polis yang mengawal lalu lintas," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, beberapa penambahbaikan dilakukan bagi memastikan kelancaran program antaranya tambahan khemah serta penyediaan baju hujan bagi persiapan jika keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Selain itu katanya, bagi menaikkan semangat kemerdekaan, kerajaan negeri sedang berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menyediakan bas untuk membawa penduduk dari daerah seperti Sabak Barnam dan Hulu Selangor untuk sama-sama memeriahkan sambutan.

"Sambutan peringkat persekutuan diadakan di Putrajaya namun sambutan peringkat negeri turut diadakan setiap tahun supaya rakyat Selangor ada perasaan bangga dengan negeri sendiri.

"Kerajaan negeri turut libatkan semua agensi bagi memupuk kesatuan dan jati diri. Dengan penglibatan banyak pihak maka penghayatan merdeka lebih dirasai," katanya.