KOTA BELUD - Seorang remaja perempuan dilaporkan lemas ketika mandi di sebuah pusat ekopelancongan di Sungai Kadamaian, Kampung Ratau di sini pada Isnin.
Mangsa dikenali sebagai Qiezlle Uyiko, 14, dilaporkan hilang akibat dibawa arus sungai kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.49 petang menerusi talian kecemasan 999.
Katanya, seramai sembilan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 17 kilometer dari BBP Kota Belud dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan.
"Mangsa dari Inanam, Kota Kinabalu dilaporkan berada di pusat ekopelancongan itu bersama ahli keluarganya dan mereka datang untuk beriadah di sungai berkenaan.
"Menurut saksi, mangsa dilaporkan lemas di bawah jambatan gantung pusat ekopelancongan berkenaan ketika sedang mandi bersama keluarganya.
"Operasi SAR pada hari pertama dibahagi kepada dua bahagian iaitu di bahagian pinggir sungai sehingga empat kilometer dan juga operasi SAR dengan radius 50 meter dari mangsa dilaporkan hilang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Muhammad Syazwan bagaimanapun berkata, mangsa gagal ditemui dan operasi disambung semula pada Selasa.
"Operasi SAR dimulakan pada jam 8 pagi tadi menggunakan bot dengan radius pencarian empat kilometer.
"Setakat ini, mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.