MELAKA - Penganjuran Malaysia #QuranHour 2023 bersempena Hari Kebangsaan yang diadakan pada cuti persekolahan dijangka mendapat sambutan ramai termasuk peserta dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).
Penyelaras Rumah Ngaji Melaka, Atikah Amir berkata, program dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang dijayakan bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan pihak Masjid Sayyidina Ali Bukit Katil pada Rabu ini mendapat sambutan menggalakkan dan penyertaan akan bertambah pada hari berlangsung.
Menurutnya, dianggarkan seramai 1,000 peserta termasuk pelajar dari beberapa kolej seperti Kolej al Quran Sayyidina Ali (KAQSA), maahad tahfiz, Kolej Komuniti, GiatMARA, dan Institut Kemahiran Mara (IKM) akan memeriahkan program yang diadakan setiap tahun itu.
Katanya, penyertaan golongan muda membuktikan mereka mempunyai keinginan untuk menjadikan program ilmu agama seperti ini sebagai satu pengisian sempena menyambut tanggal 31 Ogos.
"Sejak pagi tadi kita telah membuat persiapan bagi memastikan program berjalan dengan lancar baik dan membawa manfaat kepada semua yang terlibat," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Tambahnya, bertemakan Pemuda Merdeka Pemimpin Abrar memberi satu keinsafan bahawa kemerdekaan dan keamanan tidak dapat dicapai tanpa ilmu, tanpa akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Ujarnya, dengan adanya pengisian seperti ini menjelang Hari Kemerdekaan, akan menjadikan manusia insan yang bersyukur dengan segala nikmat dan ujian ALLAH SWT.
"Semoga kita pelajari, amalkan dan sebarkan apa yang dihidangkan sepanjang program berlangsung.
"Jangan takut dan gusar menghadapi hari mendatang kerana kita ada al Quran dan sunnah sebagai petunjuk kehidupan," katanya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan tema Malaysia #QuranHour 2023 iaitu ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ akan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr, bakal berlangsung di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos depan.