SHAH ALAM - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor boleh mengemukakan nama-nama yang layak untuk dicadangkan sebagai Timbalan Speaker, namun keputusan itu bergantung sepenuhnya kepada sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bekas Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, pembangkang boleh mengemukakan cadangan nama tersebut sebagai menghormati proses demokrasi diamalkan di negara ini.
"Tiada masalah (pembangkang kemukakan nama calon Speaker atau Timbalan Speaker), cuma menang atau tidak sahaja dalam pengundian di sidang DUN," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
"Aturan mesyuarat pertama adalah pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker, pihak mana ada cadangan (nama) boleh kemukakan dan siapa yang mempunyai majoriti dilantik ke jawatan tersebut," ujarnya.
Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan di Selangor juga mencadangkan satu nama sahaja untuk dipilih sebagai Speaker dan Timbalan Speaker atas dasar konsensus semua ADUN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Kita letak satu nama sahaja untuk kedua-dua jawatan ini dan jika ada nama daripada pembangkang, maka undian akan dibuat," jelas beliau.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, ADUN Perikatan Nasional (PN) Selangor akan membincangkan jawatan Timbalan Speaker DUN negeri itu dilantik dalam kalangan blok pembangkang.
ADUN Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, pembangkang mempunyai hak untuk mencadangkan nama-nama dirasakan sesuai sebagai Timbalan Speaker DUN Selangor.