Rakyat disarankan saling mengenali demi perpaduan

Iklan
KAJANG - Rakyat disarankan agar saling menghormati dan menghargai kepelbagaian kaum serta mengekalkan keunikan yang merupakan kunci kepada kemajuan sosio ekonomi Negara.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, perkara tersebut sekaligus menolak perkara negatif pihak tertentu yang suka melihat rakyat pelbagai kaum saling prejudis dan bertingkah antara satu sama lain.

"Kita mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan perpaduan yang dibina selama ini akan berkekalan, kita harus berusaha saling mengenali antara satu sama lain demi perpaduan,” katanya dalam ucapan perasmian rumah terbuka sambutan perayaan Krismas peringkat negeri Selangor 2018, di sini, tadi.

Amirudin berkata, beliau juga yakin dengan keadaan semasa dan sikap rasional rakyat yang menolak ekstrimis dalam pelbagai bentuk dan perkara sama ada dari segi fahaman politik dan agama, mahupun bangsa.

"Sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan perlu dihindari bagi membolehkan kita merealisasikan agenda pembangunan berkesan untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat dan memacu kemajuan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, konsep rumah terbuka yang unik dan penuh bermakna pada segenap lapisan masyarakat di Negara ini.

"Rakyat dapat merasai kegembiran tradisi perayaan pelbagai kaum yang disambut di Negara ini,” katanya.

Turut hadir Adun Kajang yang juga Exco Alam Sekitar,Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi Dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian.

Amirudin berkata, kerajaan negeri juga komited dan sentiasa memastikan kemajuan ekonomi, kestabilan politik, kemakmuran sosial yang dinikmati oleh rakyat di negeri ini akan terus dipelihara.

"Pelbagai perlaksanaan program pembangunan dan program masyarakat, kerajaan negeri tidak memikirkan mana-mana kaum, etnik atau agama.

"Kita akan terus melipatgandakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran di negeri ini berterusan demi faedah rakyat,” katanya.