KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu perlu menerima hakikat bahawa mereka sudah tidak sekuat sebelum ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jika dinilai daripada segi kekuatan, UMNO tidak begitu kuat dan ampuh dalam kesatuan di Terengganu yang menyebabkan mereka tewas pada PRU14.
Menurutnya, cabaran yang paling besar adalah rakyat dilihat mula menerima pemerintahan Pas sejak setahun lalu, disebabkan dasar-dasarnya lebih berfokus kepada pembangunan rakyat.
"Kerajaan Terengganu misalnya mereka cuba menanggung bil-bil hospital (caj wad kelas 3 percuma) walaupun mereka masih dalam perbincangan, ia memberikan impak kepada rakyat Terengganu khususnya bagi golongan yang berpendapatan rendah.
"Kita lihat dasar-dasar beginilah, pentadbiran Pas di Terengganu mula diterima rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.
Namun beliau berkata, jika dinilai secara keseluruhan, masih ramai rakyat mahu UMNO menjadi pembangkang yang kuat untuk menjadi semak dan imbang dalam pentadbiran negara.
Katanya lagi walaupun kekuatan PH itu bagus untuk kestabilan negara tapi pada masa yang sama, perlunya ada semak dan imbang serta pandangan dan teguran bernas daripada pembangkang untuk memastikan pentadbiran PH lebih efisien dan berintegriti tinggi.
"UMNO yang pastinya tidak dapat bersendirian untuk menghadapi PRU15. UMNO memerlukan pakatan atau kerjasama dengan Pas untuk memastikan sebagai pembangkang, mereka perlu kuat.
"Kalau UMNO pilih untuk bersendirian, maknanya peluang UMNO dan BN untuk menang agak tipis.
"Tapi apabila adanya kerjasama UMNO dan Pas atau BN dan Pas, ia akan memberikan ruang kepada kerjasama ini untuk memenangi PRU akan datang,” katanya.
Jelas Dr Awang Azman, dalam konteks Terengganu, walaupun UMNO dan Pas adalah musuh pada PRU yang lalu, persaingan antara mereka dapat dikurangkan kerana kerjasama antara kedua-dua parti.
"Sekurang-kurangnya, mereka akan dapat semacam perjanjian atau konsensus pada masa akan datang, kerusi yang dimenangi oleh Pas akan diambil alih oleh Pas manakala kerusi dimenangi UMNO akan terus diambil oleh UMNO.
"Jadi, dalam kedudukan ini, selagi kerjasama UMNO dan Pas dibuat dengan cara terus dan konsensus, saya lihat UMNO dengan kerjasama Pas mampu membentuk kerjasama yang kuat antara satu sama lain.
"Walaupun Pas akan lebih dominan di Terengganu, pimpinan UMNO Terengganu kena terima hakikatnya, begitu juga formula yang sama dijangka akan dibuat di negeri-negeri lain seperti BN akan lebih dominan di Pahang,” katanya.