Padam kebakaran hutan di Greece dengan kereta kebal ubah suai

Iklan
Orang ramai melihat kebakaran hutan yang marak di hutan di Sikorahi, dekat Alexandroupoli, utara Greece pada Rabu. - Foto AFP

ATHENS - Ratusan anggota bomba pada Selasa masih berusaha memadamkan kebakaran hutan yang melanda sempadan Greece-Turkiye selama 11 hari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kira-kira 475 anggota bomba sedang bertugas menggunakan enam pesawat pemadam kebakaran dan empat helikopter.

Iklan
Iklan

Mereka kini menggunakan kereta kebal perang Leopard yang telah diubah suai, dibawa khas ke wilayah itu dari tengah Greece, lapor penyiar Skai. Kereta kebal dengan kapasiti 15,000 liter air, juga dilengkapi dengan penyodok untuk kawasan kasar dan ruang menyelamat untuk 10 orang.

Tiupan angin sederhana mengakibatkan kebakaran terus berlaku di wilayah itu di beberapa kawasan.

Iklan

Proses pampasan juga telah bermula untuk penduduk tempatan, menurut saluran berita ERTNews.

Kebakaran hutan juga masih marak di pergunungan Parnitha di barat laut Athens dan di pulau Andros dan Euboea.

Iklan

Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis dijangka mengetuai mesyuarat krisis mengenai pemadaman kebakaran dan penanaman semula hutan di wilayah itu pada Selasa.

Parlimen Greece juga merancang untuk membincangkan kebakaran teruk Khamis depan.

Amaran peringkat 'tinggi' untuk bahaya kebakaran hutan masih dikuatkuasakan di banyak bahagian di Greece, yang dikeluarkan oleh Pertahanan Awam. Amaran itu meliputi sebahagian besar semenanjung Peloponnese, wilayah Attica di sekitar Athens, pulau Cyclades dan Crete.

Pasukan bomba, polis dan tentera sedang mengawal kawasan itu melalui darat dan udara, untuk mencuba dan mengesan kebakaran baharu seawal mungkin, lapor akhbar Kathimerini. - Bernama/dpa