Yi Yi, Sheng Yi, simbol tersurat diplomasi panda China-Malaysia

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Malaysia pada Selasa mengucapkan selamat jalan kepada dua ekor anak panda gergasi yang dilahirkan di negara ini Yi Yi dan Sheng Yi yang menjadi simbol tersurat diplomasi panda China dengan Malaysia.

Suasana suram menyelubungi Zoo Negara Malaysia apabila Yi Yi dan Sheng Yi yang lahir daripada pasangan Fu Wa dan Feng Yi berlepas ke China dan meninggalkan penjaga yang selama ini amat menyayangi mereka.

Iklan
Iklan

Mengimbau kembali, Fu Wa dan Feng Yi yang dinamakan semula dengan panggilan Xing Xing dan Liang Liang (betina) dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 selama 10 tahun bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China.

Pasangan itu berjaya melahirkan tiga anak, Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015; Yi Yi pada 14 Januari 2018; dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021. Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017.

Iklan

Kehadiran mereka di Malaysia adalah simbolik kepada hubungan dua hala yang sekian lama terjalin dengan China.

China begitu sinonim dengan program 'diplomasi panda' iaitu menghantar panda gergasi ke negara lain untuk mengukuhkan hubungan dua hala, meningkatkan pertukaran budaya dan kesedaran tentang pemuliharaan spesies terancam.

Iklan

Penasihat kanan di Pusat Penyelidikan Pasifik Malaysia, Dr Oh Ei Sun menyatakan bahawa panda gergasi itu menjadi lambang hubungan dua hala Malaysia-China yang telah lama erat, terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.

"Panda berfungsi sebagai simbol dan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, selain daripada hubungan dua hala, pendapatan yang dijana oleh 'sewaan' panda luar negara seperti itu dapat membantu usaha pemuliharaan panda domestik di China.

"Kehadiran panda di negara lain juga membantu meningkatkan minat dan kesedaran tentang budaya Cina secara amnya,” tambahnya.

Sementara itu, pakar Geostrategis dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan menegaskan, tidak semua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan China terpilih untuk dipinjamkan panda gergasi asli mereka.

Panda telah dipinjamkan kepada Malaysia kerana China melihat negara ini sebagai satu daripada rakan kongsi penting.

"Dalam melaksanakan strategi diplomatik mereka, sama seperti adat dan budaya timur kita. Dalam hal ini, apabila Malaysia diberi panda, ia lambang penghargaan dari Beijing ke Kuala Lumpur dari segi hubungan dua hala, ekonomi, hubungan antara rakyat, pelancongan dan sebagainya.

"Ini adalah strategi China dan kedua-dua negara mendapat manfaat daripada diplomasi panda itu,” katanya.

Mengenai kos yang ditanggung oleh Malaysia, Azmi berkata, walaupun tempoh pinjaman panda selama 10 tahun itu memerlukan kos yang tinggi, kedua-dua negara mendapat manfaat secara tersirat mahupun tersurat.

Sementara itu, Ei Sun berkata, adalah bagus jika negara membangun dapat menikmati pengurangan tempoh sewaan atau percuma sebagai tanda muhibah dari China. - Bernama