JOHOR BAHRU - Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Samsudin Mohamad Fauzi berharap statusnya sebagai orang luar yang bertanding di kawasan itu tidak menjadi sentimen pengundi menolaknya.
Jelas beliau, perkara itu tidak sepatutnya menjadi isu sebaliknya mahu pengundi menilai kemampuan dan perancangan yang ditawarkannya untuk Parlimen Pulai bagi tempoh lima tahun akan datang.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) itu berkata, ramai tidak mengetahui beliau merupakan anak kelahiran Kluang selain mempunyai ahli keluarga di sini.
"Saya yakin kumpulan pengundi di kawasan Parlimen ini mampu berfikiran terbuka serta memahami perjuangan saya.
"Perjuangan saya bukan bertujuan mengejar kuasa atau kedudukan sebaliknya bagi membawa suara rakyat berbilang bangsa di peringkat Pusat," katanya ditemui ketika berkempen di kawasan Kempas di sini pada Selasa.
Pada PRK Parlimen Pulai 9 September ini, beliau yang bertanding menggunakan logo kunci akan berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Pakatan Harapan (PH) serta BN, Suhaizan Kaiat.
Samsudin berkata, beliau akan berusaha 'menembusi' Parlimen Pulai sekali gus mahu menjadi ahli Parlimen yang berkesan berlatarbelakangkan daripada kepimpinan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan ahli politik.
Katanya, budaya kerja dalam Dewan Parlimen diyakini akan lebih berkesan sekiranya terdapat blok kuasa ketiga iaitu daripada wakil rakyat Bebas yang terdiri daripada wakil NGO.
"Seperti rakyat, saya juga bosan dengan ahli politik yang sibuk berebut jawatan dan kedudukan, sedangkan terlalu banyak isu pengguna termasuk keselamatan rakyat yang sepatutnya dibawa ke Parlimen.
"Ia jelas menerusi kempen PRK ini kerana apabila mengedar risalah, pengundi lebih terbuka apabila mengetahui saya berlatarbelakangkan pengalaman dalam NGO.
"Jelas kebencian mereka terhadap perjuangan parti politik meningkat kerana ramai yang mendakwa terkesan dengan isu kenaikan harga barang dan sebagainya," katanya.
Samsudin berkata, pengalaman bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 di Parlimen Putrajaya juga digunakan sebaik mungkin pada kali ini.
"Pada pengalaman pertama dahulu, saya berdepan pelbagai kekangan berikutan bahan kempen hanya siap beberapa hari sebelum hari mengundi.
"Namun pada kali ini semuanya lancar, ramai pengundi juga mengikuti perkembangan saya di media sosial dan memberi semangat," ujar beliau.