JOHOR BAHRU - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas, berharap agar wakil rakyat yang dilantik selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai kali ini dapat membantu menangani beberapa permasalahan di PPR berkenaan.
Tinjauan Sinar Harian ke PPR berkenaan mendapati ada beberapa permasalahan yang perlu diberikan perhatian dalam usaha menjamin keselesaan penduduk di kawasan tersebut.
Bagi seorang penduduk, Mohd Ibrahim Ismail, 60, antara masalah terbesar di PPR berkenaan, melibatkan masalah parkir yang terlalu terhad.
Mohd Ibrahim yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Komuniti, Blok B, PPR berkenaan berkata, akibat parkir terhad ia sering menyebabkan penduduk ‘bertegang leher’ antara satu sama lain.
"Selain masalah parkir, PPR ini turut mengalami masalah lampu tidak berfungsi seperti di koridor, tangga, kawasan parkir kenderaan (kereta dan motosikal), malah lampu-lampu jalan juga didapati tidak berfungsi dengan baik.
"Akibatnya ia mengundang kehadiran penjenayah kerana sudah ada kes kehilangan bateri kereta, sportrim kereta dan pelbagai lagi," katanya.
Untuk rekod, PRK bagi Parlimen Pulai (P.161), dan PRK DUN Simpang Jeram (N.13), diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), 24 Julai lalu.
Seorang lagi penduduk Daliyana Muchtar, 36, berkata, pihaknya berharap agar wakil rakyat yang memenangi Parlimen Pulai nanti membantu menyelaraskan padang sedia ada bagi memberikan peluang kepada orang khususnya golongan muda beriadah.
Daliyana yang juga merupakan Ketua Biro Sukan dan Kebudayaan PPR berkenaan turut mengharapkan agar satu ‘pasar rahmah’ dapat diwujudkan khusus bagi penghuni PPR berkenaan bagi membantu mempromosikan selain menjual produk-produk yang dihasilkan oleh penduduk PPR berkenaan yang rata-ratanya terdiri daripada golongan suri rumah sepenuh masa.
"Saya minta bakal YB nanti dapat bantu selaraskan padang di sini kerana timbul masalah berebut padang. Kalau boleh nak satu lagi (padang)," katanya.
Sementara itu bagi, Sahid Tumpang, 76, berkata, antara isu utama di PPR berkenaan adalah melibatkan kehadiran haiwan-haiwan liar seperti anjing dan babi hutan.
Katanya, sudah beberapa kali kes melibatkan anjing serta babi hutan memasuki kawasan PPR berkenaan dan ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.
"Isu utama anjing...memang banyak di sini. Babi pun ada, tapi keluar (waktu) malam, namun ia memang satu masalah ada yang kena kejar dan kalau boleh kita tak mahu benda tu berlaku di depan mata kita.
"Lagi satu, kalau boleh, kita minta dibina satu tempat riadah atau pusat warga emas di PPR ini untuk mereka berkumpul, selain dapat kenal antara satu sama lain mereka juga boleh bertukar-tukar fikiran,” katanya.