Tiada batas dalam mencari ilmu

Iklan
Foto hiasan 123RF

USAHA Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi (Hadis 40) di 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara adalah langkah yang wajar dipuji.

Usaha tersebut diyakini akan menyemarakkan lagi perkembangan ilmu dalam kalangan pelajar.

Iklan
Iklan

Malangnya, usaha KPM itu mendapat bantahan daripada kumpulan tertentu atas alasan, kononnya modul tersebut berkait dengan agama Islam, tidak sesuai untuk guru serta pelajar bukan Islam sehinggalah alasan memecahbelahkan masyarakat.

Pelaksanaan modul tersebut menurut KPM hanyalah untuk guru dan pelajar beragama Islam sahaja, tidak ada kena mengena dengan yang lain-lain.

Iklan

Sepatutnya, pihak yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan modul itu perlu selidik, mendapatkan maklumat terlebih dahulu sebelum membantah.

Jangan membuat bantahan secara membuta-tuli yang akhirnya ‘termalu’ sendiri.

Iklan

Semua pihak perlu melihat pelaksanaan modul Hadis 40 dalam konteks lebih luas tanpa membataskannya dengan pemikiran yang sempit, apatah lagi dengan perasaan prejudis yang boleh menjerumuskan masyarakat ke arah kejahilan.

Hadis 40 adalah ilmu. Hadis menjadi sumber penting dalam Islam berdasarkan peranan dan pengaruh besar selepas al-Quran sejak zaman Rasulullah SAW.

Apabila bercakap mengenai ilmu, sudah pasti ia bersifat universal yang boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja atas dasar mencari dan menegakkan kebenaran.

Malah, dalam sejarah ketamadunan Islam sendiri, perkembangan ilmu sama ada dalam bidang falsafah, matematik, sains, seni bina dan lain-lain sebahagiannya bersumberkan daripada pemikiran serta tulisan daripada ilmuwan Yunani kuno.

Nama-nama seperti Aristotle, Plato, Euclid, Archimedes dan Appolonius sering dijadikan rujukan serta dikembangkan oleh ilmuwan Islam walaupun umum mengetahui masyarakat Yunani kuno berpegang kepada kepercayaan politiesme hellenic iaitu menyembah banyak dewa-dewi (Dodekatheon).

Sebenarnya tiada kesalahan untuk mempelajari ilmu-ilmu di atas dunia ini walaupun kadangkala di luar daripada kepercayaan masing-masing, asalkan tidak memudaratkan diri dan akidah.

Dengan adanya ilmu yang dipelajari, ia boleh dan mampu diterjemahkan dalam bentuk pemikiran serta tindakan yang dapat memanfaatkan umat manusia tidak kira kaum, agama dan kepercayaannya.