PUTRAJAYA - Orang ramai mula membanjiri Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang menjadi lokasi perdana penganjuran Malaysia #QuranHour yang dijangka bermula jam 12 hingga 1 tengah hari ini.
Program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menganjurkan Malaysia #QuranHour kali ke 9, bertemakan"Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” sempena sambutan Hari Kebangsaan ke -66 dengan membawa misi Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insan dan Surah Al-Asr.
Iklan
Iklan
Malaysia #QuranHour adalah kempen MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah dengan mengajak rakyat Malaysia di dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.
Ia bermula dengan penganjuran #MalaysiaNgaji dan telah dilaksanakan di seluruh negara semenjak 2015.
Pada tahun ini, Surah Al-Fatihah (Pembukaan), Surah Al-Insan (Manusia) dan Surah Al-Asr (Masa) menjadi surah pilihan bagi mengangkat tema"Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar” dalam membentuk Malaysia Madani, negara yang sejahtera, harmoni, dan progresif.
Dengan berpandukan kepada al-Quran dan Hadis, ia dapat membentuk kerangka fikir dan karakter diri yang mulia, seterusnya dapat menjiwai kemerdekaan sebenar dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia.
Antara kenamaan yang dijangka hadir isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datin Nik Roslini Raja Ismail; Timbalan Menteri Belia dan Sukan,Adam Adli; ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman (Altimet); Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.