JAM manfaatkan 2.61 juta isi rumah

Iklan
Penganjuran Jualan Agro Madani tahun ini sehingga 20 Ogos juga turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM28.3 juta.

Rakyat terima manfaat penjimatan RM8.49 juta

Penganjuran Jualan Agro Madani tahun ini sehingga 20 Ogos juga turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM28.3 juta.

PUTRAJAYA - Rakyat mendapat manfaat penjimatan sebanyak RM8.49 juta hasil daripada penganjuran Jualan Agro MADANI (JAM) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sepanjang program itu dilaksanakan.

Iklan
Iklan

Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan KPKM, Khalid Ibrahim berkata, penjimatan dari segi diskaun pembelian produk agromakanan itu dinikmati oleh 2.61 juta isi rumah di seluruh negara.

"Penganjuran JAM tahun ini sehingga 20 Ogos juga turut merekodkan nilai jualan sebanyak RM28.3 juta," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, jumlah itu merangkumi 1,308 program JAM yang telah diadakan di seluruh negara yang mana ianya diwujudkan khas bertujuan untuk membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

"Berdasarkan rekod tersebut, penganjuran JAM ini telah mendapat sambutan sangat baik khususnya daripada golongan sasar dari kumpulan pendapatan B40 dan M40," jelasnya yang turut memaklumkan program tersebut telah mencatatkan bilangan kehadiran pengunjung seramai 654,000 orang.

Iklan

KHALID

Tambah Khalid, program JAM turut disertai seramai 20,590 usahawan yang terdiri daripada peserta ladang kontrak serta usahawan bimbingan kerajaan di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pada masa sama katanya, KPKM akan memperluaskan lagi program JAM sehingga Disember tahun ini dengan sasaran 5,000 sesi jualan.

"Menjelang Oktober 2024 pula, kita akan mencapai sasaran 10,000 sesi jualan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Khalid menyatakan pihaknya yakin program JAM ini akan terus menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan produk agromakanan serta keperluan harian yang lebih segar dengan harga yang berpatutan berbanding di pasaran biasa.

Ini kerana katanya, barangan keperluan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur yang dijual dalam program JAM itu dibawa terus dari ladang manakala harga yang ditawarkan adalah 10 hingga 30 peratus lebih rendah.

"JAM turut memanfaatkan para penjual dari segi peningkatan pendapatan mereka menerusi konsep jualan terus tanpa melibatkan orang tengah atau pemborong. Maka sebab itulah mereka mampu menawarkan harga lebih rendah kepada pengunjung," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid turut memaklumkan bahawa KPKM akan menganjurkan Karnival Jualan Mega Agro MADANI Peringkat Kebangsaan 2023 akan diadakan selama lima hari bermula 30 Ogos sehingga 3 September 2023.

Berlangsung di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka, karnival itu akan dirasmikan oleh Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu dan dijangka seramai 1,000 usahawan dan pemasar agromakanan di seluruh negara akan berhimpun bagi memasar produk mereka kepada para pengunjung.

"Karnival ini antaranya menawarkan 3,000 set Kombo Madani, 3,000 ekor ayam segar dan 10,000 papan telur ayam yang akan dijual pada harga yang munasabah dan berpatutan. Kepada rakyat yang tinggal berdekatan, jangan lepaskan peluang untuk datang ke karnival ini nanti”.

"Kita menyasarkan jualan karnival ini akan memberi manfaat kepada 400,000 isi rumah dengan nilai jualan melebihi RM2 juta,” ujarnya.

Selain jualan, karnival tersebut katanya turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada para pengunjung antaranya sambutan ambang kemerdekaan, ceramah perdana, pertandingan mewarna, peragaan pakaian kebangsaan dan sebagainya.