Lelaki dipenjara 10 bulan, cedera anak saudara, ugut ibu

Iklan
Tertuduh ketika dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Majistret Rembau pada Rabu.

REMBAU - Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan anak saudaranya dan melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya, Ahad lalu.

Tertuduh, G Jegen, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.

Iklan
Iklan

Mahkamah juga menetapkan dua bulan penjara sekiranya tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap anak saudara lelakinya berusia dua tahun di sebuah rumah di Taman Suria, Tampin jam kira-kira jam 6 petang pada Ahad lalu.

Iklan

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah dengan niat hendak menyebabkan kegentaran terhadap ibunya yang berusia 58 tahun.

Iklan

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada tarikh, masa dan tempat sama dengan pertuduhan pertama.

Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati memukul anak saudaranya itu di bahagian kepala sehingga terjatuh dan menyebabkannya mengalami luka di bahagian bawah bibir dan bahu kiri serta bengkak muka sebelah kiri.

Selain itu, tertuduh turut mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh anak saudara dan ibunya itu.