1MDB: Dua akaun Najib babit transaksi RM2.28 bilion dianalisis

Iklan
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung 1MDB. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seorang penganalisis petugas khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau diarahkan untuk meneliti dua akaun bank milik Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung 19 transaksi berjumlah RM2.28 bilion bermula 2011 hingga 2014.

Saksi pendakwaan ke-47, Adam Ariff Mohd Roslan berkata demikian semasa prosiding kes empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama, membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Iklan
Iklan

Adam Ariff, 29, yang dipinjamkan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan dijalankan dalam dua akaun peribadi AmIslamic Bank Berhad atas nama Najib/‘AmPrivate Banking-MR’ dan Najib/ ‘AmPrivate Banking-1MY’.

Menurutnya, transaksi bermula 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 mencatatkan amaun serendah iaitu RM11,567.57, manakala tertinggi RM602 juta.

Iklan

Beliau berkata, mengikut analisis, jejak wang dalam dua akaun bank itu membabitkan empat fasa iaitu ‘Good Star’, ‘Aabar-BV’, ‘Tanore’ dan ‘Options Buyback’.

"Jumlah tertinggi diterima ketika fasa ‘Tanore’ ialah sebanyak RM2.081 bilion iaitu dikreditkan ke akaun AmPrivate Banking–MR daripada akaun Falcon Private Bank, Singapura atas nama Tanore Finance Corp.

Iklan

"Ia membabitkan tarikh antara 21 Mac dan 10 April 2013, di mana dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Global Investment Limited,” katanya.

Beliau berkata, mengikut fasa ‘Aabar-BVI’ antara 30 Oktober dan 20 November 2012, sebanyak RM90.9 juta dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Standard Chartered Bank, Singapura atas nama Blackstone Asia Real Estate Partners kemudian dikesan pada bon dikeluarkan 1MDB Energy (Langat) Limited.

Bagi fasa ‘Good Star’ antara 23 Februari dan 14 Jun 2011 membabitkan RM60.629 juta, ia dikreditkan ke akaun sama daripada akaun Riyad Bank, Arab Saudi yang dikesan pada terbitan Bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 2009 dan pinjaman bertempoh bersindiket pada 2010.

Sementara bagi fasa ‘Options Buyback’ pula katanya, ialah sebanyak RM4.09 juta dikreditkan ke akaun itu daripada akaun DBS Bank, Singapura atas nama Blackrock Commodities (Global) Limited kemudian dikesan hasil pinjaman AS$250 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited.

"Pada 23 Oktober hingga 19 Disember 2014, sebanyak RM45.837 juta dikreditkan ke akaun berkenaan daripada akaun Amicorp Bank, Barbados atas nama Vista Equity International Partners Limited.

"Ia boleh dikesan pada hasil pinjaman AS$975 juta daripada 1MDB Energy Holdings Limited pada 2014,” katanya.

Adam Ariff memberi keterangan terhadap Najib, 70, yang menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) bersambung 2.30 petang.