SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mempersoalkan niat Pas yang sedia bekerjasama dengan UMNO namun tidak dengan pemimpin yang membuat keputusan untuk berpakat dengan DAP.
Beliau yang juga Ahli Majlis Ulama UMNO, berkata, syarat kerjasama politik hendaklah dengan niat ikhlas menyatukan umat dan bekerjasama atas dasar kebajikan, bukannya dengan niat terselindung memecahkan parti rakan kerjasama.
"Kerjasama politik antara BN dan PH diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO bukannya keputusan individu seusai PRU.
"Keputusan untuk kerjasama dengan mana-mana parti juga mesti keputusan oleh parti bukannya individu-individu.
"Adakah Pas mahu bermain dengan agenda pecah perintah di kalangan pemimpin UMNO sebagaimana Pas lakukan di akhir-akhir berkerajaan bersama di peringkat Persekutuan sebelum ini?," soalnya menerusi satu kenyataan di Facebooknya pada Rabu.
Beliau berkata, perlu diingatkan bahawa BN berpakat dengan PH sebagai gabungan parti-parti bukannya dengan DAP secara bersendiri.
Itupun selepas pilihan raya umum (PRU) di saat tiada parti mempunyai majoriti yang membolehkan kerajaan ditubuhkan dan dengan titah Yang Dipertuan Agong.
"Tetapi naratif ini sengaja diulang oleh Pas untuk membina persepsi negatif terhadap kerjasama Kerajaan Perpaduan. Itulah kerja Pas membina persepsi negatif pada parti lawan," katanya.
Kata Mohd Khairuddin lagi, pemimpin Pas sendiri pernah bermati-matian mengecam DAP ketika DAP menyebut untuk bekerjasama dengan Pas sahaja tetapi tidak dengan Presiden Pas ketika itu.