Anggota FRU mengaku tidak salah rompak gelang emas peniaga

Iklan

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan gelang emas milik seorang peniaga kedai runcit, minggu lepas.

Tertuduh Mohd. Khuzairi Shaari, 43, membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khuzairi yang berpangkat Lans koperal didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Kampung Tok Bintang, Kuala Berang dekat Hulu Terengganu antara 9.45 malam hingga 10.30 malam, pada 23 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (Akta 592) yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah menetapkan 2 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan melapor diri di balai polis terdekat setiap satu hari bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hayatuddin Muhammad. - Bernama

Iklan