SHAH ALAM - Semangat patriotisme adalah satu elemen yang amat penting kepada masyarakat dan rakyat kerana ia merupakan nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.
Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kepada kegoyahan dan penderitaan.
Rakyat perlu tahu, semangat cinta kepada negara boleh disemat dengan pelbagai cara bukannya selain mengibarkan Jalur Gemilang ketika sambutan Hari Kebangsaan ataupun nyanyian lagu Negaraku semata-mata.
Sebagai contoh, mereka boleh menterjemahkannya menerusi pembelian barangan buatan Malaysia kerana ia secara tidak langsung dapat membantu merancakkan ekonomi negara.
Sejak tahun 1984, kerajaan melancarkan Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang kemudian dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).
Perbelanjaan Domestik
Pelancaran semula ini bertujuan untuk memperkukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli barangan buatan Malaysia.
Rakyat Jepun dan Korea misalnya yang menyokong apa sahaja produk keluaran negara mereka hingga terkenal di peringkat antarabangsa.
Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mengubah tabiat suka membeli barangan import kerana produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan juga mempunyai kualiti tinggi.
Menyokong atau membeli barangan keluaran tempatan bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi negara malah membuktikan rakyat Malaysia amat sayang dan cintakan tanah air.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sikap mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia merupakan sisi patriotisme yang mudah dilakukan oleh rakyat kepada tanah air mereka.
Katanya, ini kerana langkah tersebut adalah amat praktikal dan bukannya sesuatu yang sukar seperti mempertaruhkan nyawa untuk negara.
"Membeli barangan buatan Malaysia dilihat sebagai manifestasi patriotisme. Ekonomi domestik begini adalah sangat baik untuk kesejahteraan rakyat kerana dapat menjamin kestabilan ekonomi serta akses kepada peluang pekerjaan.
"Pada masa sama, barangan kita haruslah bermutu iaitu dibuat daripada bahan berkualiti, serta selamat untuk digunakan. Rakyat pasti membelinya kerana setanding atau lebih baik daripada barangan luar negara," katanya.
Komitmen Kerajaan
Kok Seong berpendapat, seruan mengutamakan pembelian barangan buatan tempatan haruslah seiring dengan komitmen kerajaan.
"Contohnya memperkenalkan seruan tersebut melalui Dasar Pemerolehan atau Pembelian Negara yang mana memberi keutamaan kepada pembelian barangan buatan Malaysia.
"Ia sangat penting untuk menjayakan seruan ini kerana diperlihat kerajaan sendiri dalam bentuk kepimpinan melalui teladan," jelasnya.
Tambah beliau, golongan pemimpin juga khususnya ahli politik perlu menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.
"Pemimpin negara perlu mengangkat 'budaya patriotisme ini' dengan mengutamakan pembelian barangan buatan Malaysia untuk mendorong dan mempengaruhi masyarakat.
"Melihat sendiri teladan daripada pemimpin, rakyat akan ikut melakukannya. Dalam hal ini, tidak boleh sesekali bersifat seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul”.
"Sehubungan itu, negara memerlukan kepimpinan patriotik yang boleh menginspirasikan rakyat dengan semangat cintakan negara," jelasnya.
Menurutnya lagi, kemajuan sesebuah negara disebabkan sokongan padu daripada rakyat.
"Negara akan maju dengan lebih cepat dan mudah, tanpa banyak bantahan apabila rakyat menyokong dasar negara," katanya.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia perlu berbangga dengan barangan tempatan kerana banyak yang berkualiti dan harga lebih murah berbanding produk luar negara sekali gus dapat menanam semangat patriotik dalam diri masing-masing.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, semua pihak perlu faham definisi cintakan negara yang mana mereka sepatutnya bangga dengan negara sendiri apabila berupaya menghasilkan barangan tempatan yang setanding dengan standard kualiti barangan luar.
Katanya, tanggapan barangan Malaysia tidak berkualiti hanyalah sekadar cakap kosong dan persepsi daripada sesetengah pihak sahaja.
"Sebenarnya mentaliti rakyat kita sahaja yang kata barangan buatan Malaysia tidak berkualiti walhal belum pernah cuba, tapi kita sudah label awal-awal barangan tempatan tidak berkualiti.
"Dengan pemikiran sebegini, lama-lama akan diturunkan pula kepada generasi muda kita, jadi bila kita mahu cuba untuk guna barangan buatan Malaysia,” ujarnya.
Tambah Nur Asyikin, penghasilan produk sendiri bukti negara berupaya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat sekali gus dapat menjana ekonomi negara.
"Apabila kita saling membantu dengan membeli barangan tempatan, ekonomi semakin meningkat, peluang pekerjaan juga bertambah dari semasa ke semasa.
"Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu membeli dan sentiasa menyokong produk tempatan sebagai bukti mempunyai semangat patriotik, ubah persepsi terhadap barangan kita," jelasnya.
Reaksi
"Membeli barangan buatan Malaysia bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi negara malah memberi kelebihan kepada pengguna kerana ia murah berbanding barangan luar negara. Lagipun barangan kita pun mempunyai kualiti yang tinggi, jadi janganlah rakyat Malaysia terutamanya generasi muda mengagung-agungkan barangan import,” - Ahli perniagaan, Azizul Nizam Ali, 48.
"Sudah pasti saya menggunakan barangan buatan Malaysia yang bermutu dan berkualiti tinggi. Belilah barangan buatan Malaysia! Alah membeli, menang memakai,” - Guru Sekolah Antarabangsa, Ahmad Izwan Abdul Lahtif, 33.
"Tidak dinafikan, kuasa membeli terletak dalam tangan sendiri dan sesiapa pun berhak untuk memilih mengikut citarasa, kemahuan dan kemampuan masing-masing. Namun, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong produk warga tempatan, kebanyakan barang saya sememangnya produk tempatan,” - Pemain bola sepak, Muhammad Hakim Zailani, 19