SHAH ALAM - Suasana hiba dan hujan lebat menyelubungi Zoo Negara apabila dua ekor anak panda gergasi yang dilahirkan di negara ini iaitu Yi Yi dan Sheng Yi dihantar pulang ke China, semalam.
Video berdurasi lebih dua minit yang dikongsikan menerusi Facebook Zoo Negara Malaysia, menyaksikan anak panda yang menjadi simbol tersurat diplomasi panda China dengan Malaysia itu dihantar ke lapangan terbang dengan menaiki lori.
Ketika proses pemunggahan itu, semua kakitangan Zoo Negara dan pencinta panda melambai-lambai pemergian Yi Yi dan Sheng Yi.
Menurut hantaran Zoo Negara di laman sosial itu, semua orang tetap menunggu Yi Yi dan Sheng Yi dengan sabar walaupun hujan lebat.
"Lihatlah detik-detik Zoo Negara Malaysia dan semua pencinta panda menghantar bayi tersayang bersama- sama.
"Terima kasih atas semua kenangan bersama dan kami berharap dapat melihat anda berdua sihat dan bahagia di Chengdu. Bye bye Yi Yi dan Sheng Yi!" katanya pada Rabu.
Mengimbau kembali, Fu Wa dan Feng Yi yang dinamakan semula dengan panggilan Xing Xing dan Liang Liang (betina) dipinjamkan kepada kerajaan Malaysia pada 2014 selama 10 tahun bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia dan China.
Pasangan itu berjaya melahirkan tiga anak, Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi pada 14 Januari 2018 dan Sheng Yi pada 30 Mei 2021.
Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017.
Kehadiran mereka di Malaysia adalah simbolik kepada hubungan dua hala yang sekian lama terjalin dengan China.
Sementara itu, rata-rata netizen meninggalkan komen dengan memberi ucapan selamat tinggal kepada kedua-dua anak panda itu.
Pemilik akaun bernama Kim JH Fraser mengucapkan selamat tinggal kepada Yi Yi dan Sheng Yi.
"Sayang kamu selamanya," ujarnya.
Menurut Chow Catherine, hatinya berasa sangat sedih.
"Terima kasih kepada semua 'bapa' Yi Yi dan Sheng Yi yang menjaga mereka sepanjang masa ini," jelasnya.
Atie Nakim pula menyatakan bahawa dia tidak sempat untuk melihat kedua-dua anak panda itu.
"Selamat tinggal Yi Yi dan Sheng Yi, tak sempat tengok depa berdua ini. Malaysia tidak akan rasa malu sebab mereka berdua dijaga dengan elok dan gebu gebas bila dipulangkan semula ke China," katanya.