Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan dari Amanah

Iklan
Aminuddin - Foto Bernama

SEREMBAN - Pelantikan jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diisi oleh pemimpin daripada Parti Amanah Negara (Amanah) manakala Timbalannya akan diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi memberi keseimbangan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dipersetujui secara dasar oleh Kerajaan Perpaduan di negeri ini dan majlis angkat sumpah dua jawatan tersebut akan dilakukan pada 26 September ini.

Iklan
Iklan

"Jawatan Speaker masih belum dimuktamadkan tetapi pada dasarnya ia daripada (parti) Amanah, nama kita serahkan kepada Amanah. Jawatan Timbalan Speaker pula dari PKR," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Menurutnya, persidangan DUN pula akan diadakan empat hari termasuk majlis perasmian akan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 9 Oktober ini.

Iklan

"Persidangan DUN kali pertama nanti melibatkan dua rang undang-undang (RUU) serta bajet tambahan bagi pengurusan kewangan negeri 2023," katanya

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, persidangan DUN bagi Belanjawan 2024 akan diadakan pada 1 Disember selama seminggu.

Iklan

Mengenai peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, Aminuddin berkata, ia belum dibincangkan lagi setakat ini dan mungkin akan diketahui selepas persidangan belanjawan nanti.