GEORGETOWN - Rakyat di negeri ini dinasihatkan supaya berhenti membuat sebarang provokasi, kenyataan bersifat adu domba serta menggunakan sentimen agama dan kaum demi menjaga keharmonian masyarakat.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, rakyat juga diminta supaya berhenti menyebarkan maklumat palsu terutama di media sosial sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa.
Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan lebih bermakna apabila sejarah dilakar dengan terbentuknya Kerajaan Perpaduan sekali gus menamatkan kemelut ketidaktentuan politik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam lipatan sejarah Malaysia.
"Esok, genap 66 tahun kita menyambut ulang tahun kemerdekaan. Hakikatnya, bukan mudah mengecapi kemerdekaan, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.
"Sebaliknya memerlukan perjuangan serta pengorbanan dan semangat inilah yang mesti diteruskan dengan berteraskan perpaduan yang utuh.
"Sesuai dengan tema sambutan tahun ini, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang menjadi lambang kebersamaan rakyat Malaysia berbilang bangsa, baik dari segi latar belakang agama, perkembangan sejarah, silang budaya dan asimilasi kaum," katanya dalam perutusan Hari Kebangsaan ke-66 pada Rabu.
Kata Kon Yeow, perpaduan menyatukan seluruh masyarakat membentuk identiti dengan nilai bersama dan satu perasaan cintakan tanah air.
"Pembentukan Kerajaan Perpaduan ini membuktikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi tonggak perpaduan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, mari sama-sama kita lupakan sengketa politik selepas Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) dan fokus kepada urus tadbir perpaduan.
"Tanpa perpaduan, kita tidak mungkin mencapai kestabilan, kesejahteraan dan kemajuan yang berterusan. Sebagai simbolik mandat baharu Kerajaan Perpaduan, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dilantik dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih rakyat kini bersedia berkhidmat untuk negeri ini," katanya.
Beliau turut berharap agar permulaan babak dan cabaran baharu untuk tempoh lima tahun akan datang dapat diutuhkan lagi bagi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang kekal relevan.
Kon Yeow berkata, ia termasuk dalam meningkatkan penyertaan dan kesejahteraan rakyat seterusnya memacu pembangunan agar Pulau Pinang terus gah menjadi peneraju kemajuan.