'Mentaliti, hati kami tak cukup kuat' - Pearly

Iklan
Aksi Pearly Tan-MThinaah.

KEKUATAN mental yang sering goyah terus menjadi igauan ngeri kepada beregu wanita utama negara, Pearly Tan-MThinaah setiap kali beraksi di pentas tertinggi.

Perkara itu diakui sendiri Pearly selepas kekalahan terbaharu mereka di peringkat suku akhir Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark baru-baru ini sekali gus gagal membawa pulang pingat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tahap mentaliti seumpama itu mempengaruhi kecekalan dan semangat juang di gelanggang terutama ketika sedang mendahului permainan menyebabkan mereka melakukan kesilapan mudah yang akhirnya mengundang padah.

"Sudah tentu kami tidak puas hati dan sangat sedih kalah di suku akhir, seperti saya katakan apabila kami mendahului mental dan hati kami tak cukup kuat. Jadi saya harap kami dapat cari penyelesaian kerana bukan sekali atau dua kali tetapi banyak kali (berlaku).

Iklan

"Kami harap dapat jumpa solusi kepada masalah ini secepat mungkin supaya perkara sama tidak berulang,” katanya kepada Bernama di sini.

Meskipun sering terkandas pada mana-mana kejohanan disebabkan masalah yang berulang, ia sama sekali tidak mematahkan semangat pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu untuk menggandakan usaha dalam menghadiahkan kejayaan kepada negara.

Pearly berkata, beliau dan Thinaah yang muncul juara Terbuka Perancis tahun lepas, akan berusaha mencapai tahap prestasi terbaik secara berperingkat kerana tiada jalan pintas untuk berada di puncak.

Iklan

"Semua atlet harap untuk menang, jadi kami akan gigih berlatih dan berikan yang terbaik kemudian disusuli dengan keputusan,” kata pemain kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu.

Pada Kejohanan Dunia di Denmark, Pearly-Thinaah yang merupakan gandingan nombor 11 dunia ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu, dengan keputusan 21-17, 17-21, 19-21 di pentas suku akhir sekali gus meranapkan impian untuk mara ke separuh akhir. - Bernama