SHAH ALAM - Pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan undang-undang jenayah syariah dalam bidang kuasa negeri perlu dilaksanakan.
Menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), sudah sampai masa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencari penyelesaian kepada isu pentadbiran agama Islam menerusi bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah agar pertikaian bidang kuasa yang disepakati sebelum ini tidak berulang.
Menurutnya, jalan penyelesaian yang dirintis seharusnya menjurus kepada langkah untuk pengharmonian kedua-dua bidang kuasa iaitu syariah dan sivil, dalam masa yang sama meneruskan usaha untuk memperkasa Mahkamah Syariah.
"Maka, wujud keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan 'undang-undang jenayah' dalam Senarai III – Senarai Bersama Persekutuan & Negeri, Jadual Kesembilan, dengan menzahirkan kesalahan jenayah Syariah berada dalam bidang kuasa negeri.
"Menerusi pindaan ini, Dewan Undangan Negeri akan diberikan kuasa untuk menggubal, meminda serta menguatkuasakan sesuatu undang-undang jenayah dalam ruang lingkup kesalahan jenayah syariah.
"Ini memandangkan dalam peruntukan undang-undang sedia ada, sememangnya terdapat beberapa kesalahan yang diletakkan di bawah kedua-dua bidang kuasa iaitu Enakmen Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan seperti kesalahan sumbang mahram, pelacuran, hubungan seks sesama jantina, hubungan seks luar tabii dan perbuatan tidak sopan di tempat awam," katanya memetik memorandum yang dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Dalam memorandum bertarikh 29 Ogos itu, ABIM menekankan menerusi langkah yang disyorkan itu, ia akan menyelesaikan kekangan yang dinyatakan dalam kes-kes yang dinyatakan.
Ujarnya, langkah pengharmonian ini juga sejajar dengan kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja lwn Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Satu Lagi [1999] 2 MLJ 241 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan undang-undang antara Kanun Keseksaan dan Enakmen Jenayah Syariah Negeri boleh wujud secara bersama.
"Namun, seperti yang dinyatakan, batasan kesalahan yang hanya dalam ruang lingkup jenayah syariah perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang polemik dan salah faham di kemudian hari. Kesalahan perlu dijelaskan.
"Dalam masa yang sama, seiring dengan usaha pengharmonian ini, usaha penambahbaikan urusan merangkumi pentadbiran dan pelaksanaan undang-undang syariah harus ditingkatkan," katanya.
Pada Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah satu jawatankuasa khas perlu segera ditubuhkan bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal tentang kompetensi Dewan Undangan Negeri-negeri untuk menggubal undang-undang Islam di bawah Enakmen negeri serta bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, ini berikutan kebelakangan ini banyak kes yang sedang dibicarakan di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dicabar di Mahkamah Persekutuan, khususnya berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam membuat dan meluluskan undang-undang Islam (Syariah) serta bidang kuasa Mahkamah Syariah yang mendengarnya.