KUALA LUMPUR - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bertindak tegas menutup sebuah kilang memproses ayam di Jalan Sungai Bakau, Rawang kerana beroperasi tanpa lesen.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan kilang terbabit juga pernah diserbu sebanyak dua kali sebelum ini, namun meneruskan operasi mereka selepas serbuan tersebut dijalankan.
"Pemilik premis kilang pernah diberikan lesen sementara, namun dibatalkan kerana tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui notis dikeluarkan 8 Februari lalu.
"Surat makluman pembatalan telah diserahkan kepada premis perniagaan pada 3 Ogos dan diarahkan menghentikan aktiviti perniagaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan surat pemakluman pembatalan," kata MPS di laman Facebooknya.
Selain itu, PBT itu turut memaklumkan pelaksanaan operasi itu susulan aduan awam yang terganggu dengan pencemaran kawasan persekitaran di mana lokasinya berhampiran dengan rumah kediaman.
"Malah premis itu juga didapati membuang darah ayam dan air buangan terus ke dalam longkang," kata MPS.
Sehubungan itu sebanyak empat kompaun, satu notis penutupan dan sita dikeluarkan selain pemotongan bekalan elektrik bagi melumpuhkan operasi kilang berkenaan.
Notis dikeluarkan bawah Undang-Undang Kecil 3, Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007; UUK 27 (2), Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007; UUK 19 (1) d, Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan (MPS) 2007 dengan kompaun RM1,000 maksimum setiap satu.
MPS juga mengeluarkan notis bawah Seksyen 70(11) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133) kerana kesalahan penambahan dan perubahan dalaman premis dengan kompaun berjumlah RM12,500.
"MPS memandang isu ini secara serius dan akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi membendung gejala haram ini dan pemilik premis diminta mematuhi syarat-syarat ditetapkan atau tindakan tegas akan diambil," tambahnya.
Operasi bersepadu berkenaan diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS, Ahmad Faisal Badiuzaman bersama-sama 69 anggota penguatkuasa.