PUTRAJAYA - Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti yang digariskan dalam Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi kawasan maritim negara ini.
Tegas Kementerian Luar Negeri (KLN), peta tersebut sama sekali tidak mengikat Malaysia.
"Seperti ditegaskan kerajaan berhubung isu Laut China Selatan sebelum ini termasuk isu persempadanan maritim, Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979," kata KLN menerusi kenyataan pada Rabu.
Jelas kementerian itu, isu tersebut perlu dikendalikan secara aman dan rasional melalui dialog serta rundingan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982).
Malaysia komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan semua pihak melaksanakan Deklarasi Tatalaku Pihak–pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) secara menyeluruh dan efektif.
Selain itu, negara ini juga komited terhadap proses rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang efektif dan substantif, serta terhadap sasaran untuk memuktamadkan COC seawal mungkin.
Pada Selasa, China mengeluarkan peta baharu itu yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak serta beberapa kawasan di India yang didakwa milik negara itu.
Peta Standard China Edisi 2023 itu turut menggabungkan kawasan yang dipertikaikan termasuk tuntutannya ke atas Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.
Ini turut membabitkan kawasan maritim Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.