KOMITMEN kerajaan Negeri Sembilan untuk mewujud serta merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari dijangka akan menunjukkan keberhasilannya menerusi pembangunan Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia 2.0 atau Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0).
Dengan keyakinan akan membawa limpahan kepada rakyat, projek MVV 2.0 dilihat akan berfungsi sebagai pemacu kepada sebahagian pembangunan ‘Greater Kuala Lumpur’ yang memberi fokus kepada enam parcel pembangunan (A, B, C, D, E dan F) yang dijangkakan akan menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara apabila siap sepenuhnya pada tahun 2045.
Keyakinan dan sasaran MVV 2.0 itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai memandangkan kerajaan negeri telah merangka strategi yang memberi fokus kepada pembahagian sektor-sektor strategik yang mempunyai nilai serta daya saing yang tinggi.
Bagi pembangunan Parcel A, kerajaan negeri telah meletakkan pembangunan kawasan seluas 1,148 hektar sebagai kawasan perindustrian berteknologi tinggi atau ‘NS High Tech Industrial Park.’ yang terbahagi kepada empat parcel iaitu Hamilton, New Labu, Labu dan Kriby. Malah, pembangunan ini telah pun dimulakan di Parcel Hamilton pada tahun 2021 dan semakin berkembang pada hari ini.
Manakala, pembangunan Parcel B, ia akan melibatkan kawasan seluas 3,559.6 hektar yang dirangka khusus untuk pembangunan Wilayah Pintar (Smart County) yang meliputi pembinaan pusat bandar pintar dan ‘Central Business District’ (CBD) baharu di Seremban meliputi perumahan, komersial dan industri ringan dan sederhana yang memfokuskan industri makanan dan minuman (F&B) halal, farmaseutikal, kosmetik serta hab perubatan dan pendidikan.
Sementara itu, ‘Smart County’ bakal menjadi model kepada reka bentuk bandar pintar yang disokong dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu meningkatkan kualiti hidup, pertumbuhan ekonomi, kemampanan alam sekitar dan pengurusan bandar yang lebih efisien serta selamat. Malah, ‘Smarty County’ bakal menarik tenaga kerja mahir di samping akses perhubungan yang lebih dekat seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perumahan untuk rakyat
Malah, MVV 2.0 juga menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dengan menyediakan anggaran 9,188 unit perumahan mampu milik mengikut jenis antaranya ‘Type A’ yang bernilai RM80,000 ke bawah dengan keluasan 148 meter persegi lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Bagi pembangunan Parcel C, projek MVV 2.0 bakal menyemarakkan industri aeroangkasa yang dikenali sebagai Lembah Aeroangkasa NS atau"NS Aerospace Valley’ (NSAV) dengan pembangunan kawasan seluas 6,221.2 hektar.
Dari segi perancangan, kerajaan negeri meletakkan sasaran untuk menjadikan NSAV sebagai hub perindustrian aeroangkasa yang dinamik dan bersepadu di Malaysia dan juga di rantau Asia.
Pembangunan Parcel C ini turut memberi perhatian kepada komponen utama industri lain yang meliputi minyak dan gas (O&G), kenderaan elektrik (EV) dan hab logistik.
Pada masa sama, MVV 2.0 turut memberi perhatian kepada pembangunan Parcel D yang dikenali sebagai Hab Maritim Bersepadu dan Koridor Pinggir Pantai merangkumi seluruh perairan negeri dalam tiga batu nautika dirangka untuk mengembangkan industri maritim di Port Dickson.
Pembangunan industri termaju
Selain itu, pembangunan Parcel E pula dirancang sebagai kawasan pembangunan industri ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV) seluas 1,821 hektar yang terbahagi kepada empat sektor iaitu ‘Unmanned Aerial Vehicle’ (UAV), ‘Unmanned Ground Vehicle’ (UGV), ‘Unmanned Surface Vehicle’ (USV) dan ‘Unmanned Underwater Vehicle’ (UUV).
Dalam perancangan serta pelaksanaan MVV 2.0, kerajaan negeri turut memberi perhatian dalam industri semikonduktor dalam pembangunan Parcel F yang terletak berhampiran Taman Perindustrian Tuanku Jaafar. Malah, kerajaan negeri telah pun menerima dua cadangan pembangunan semikonduktor yang bernilai RM35 bilion.
Melihat daripada perancangan dan pelaksanaan MVV 2.0 ini, ia benar-benar menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang sentiasa mahukan Negeri Sembilan menjadi antara ‘power house’ yang menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Malah, projek MVV 2.0 ini turut selari dengan dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2018 yang menekankan ‘Pelaburan Berganda’, ‘Tinggal di Negeri Sembilan, Bekerja di Negeri Sembilan dan Gaya Hidup di Negeri Sembilan’ (Live, Work & Play in Negeri Sembilan).
Berdasarkan pelaksanaan dan perancangan MVV2.0, ianya bukanlah satu angan-angan kosong kerana ia telah berjaya diterjemahkan melalui sembilan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani bagi pembangunan keseluruhan parcel dalam projek berkenaan.
Antaranya MoU yang ditandatangani;
- Memorandum Persefahaman bersama National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia) bagipembangunan ekosistem aeroangkasa di NS Aerospace Valley (NSAV) dan ‘Unmanned Vehicle Valley’ (UVV);
- Memorandum Persefahaman bersama China National Aero-Technology International Engineering Corporation (AVIC-ENG) bagi pembangunan hartanah dan infrastruktur di kawasan NSAV dengan jumlah pelaburan sebanyak RM5.81 bilion;
- Usahasama bersama MCHB Development (NS) Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur di Plot C Parcel B berjumlah RM7 bilion;
- Usahasama bersama MIE Industrial Sdn Bhd bagi pembangunan fasiliti terminal industri yang dikenali sebagai NS Maritime Gateway berjumlah RM1.2 bilion;
- Usahasama bersama Labu Tech Park Sdn. Bhd. bagi pembangunan infrastruktur kawasan industri NS Smart Park di Plot C, Parcel B berjumlah RM700 juta;
- Usahasama bersama NS Semiconductor Valley Sdn Bhd bagi pembangunan kawasan industri semikonduktor di Parcel F berjumlah RM420 juta;
- Usahasama Seremban Engineering Berhad bagi pembangunan Jeti NSC berjumlah RM400 juta;
- Usahasama bersama WSH Development Sdn Bhd bagi pembangunan infrastruktur NS Seaplane Hub berjumlah RM68.5 juta; dan
- Memorandum Persefahaman bersama Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) bagi pembangunan Water Aerodrome di sebahagian NS Seaplane Hub.
Sesungguhnya, MVV 2.0 yang dirumuskan kerajaan negeri mampu melonjakkan lagi prestasi ekonomi sekaligus mencapai matlamat untuk menjadikan Negeri Sembilan ke arah sebuah negeri maju menjelang 2045.
Infografik:
Prestasi Nilai Pelaburan Negeri Sembilan
2017 - RM1.41 bilion
2018 - RM2.86 bilion
2019 - RM6.77 bilion
2020 - RM7.93 bilion
2021 - RM5.76 bilion (penurunan kesan pandemik Covid-19)
2022 - RM8.9 bilion