KBS bantu pelajar tular Muhammad Aqil

Iklan
Muhammad Aqil gigih berlari menamatkan larian 100m pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas di MSSD Jerantut baru-baru ini.

KEGIGIHAN Muhammad Aqil Naufal Zahiran menamatkan larian 100 meter (m) dengan menggunakan tongkat semasa menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas di Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Jerantut mendapat perhatian Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Hannah Yeoh akan berusaha membantu pelajar berusia 11 tahun itu untuk menyertai lebih banyak aktiviti sukan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

"Saya telah melihat usaha adik Muhammad Aqil menamatkan lariannya. Ini adalah mentaliti seorang juara.

"Tiada alasan untuk tidak bertanding. Tiada alasan untuk tidak bersaing dalam perlumbaannya dan beliau telah membuktikannya dan melakukan yang terbaik dengan keadaannya,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Baru-baru ini tular sebuah klip video yang memaparkan Muhammad Aqil berupaya sampai ke garis penamat dalam perlumbaan 100 meter dengan menggunakan tongkat semasa menyertai Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSD Jerantut 2023.

Hannah memberitahu, KBS melalui Institut Sukan Negara (ISN) telah membuat persiapan untuk bertemu dengan pakar prostetik minggu ini bersama keluarga Muhammad Aqil.

Iklan

"Adik Muhammad Aqil mempunyai pemikiran seorang juara. Ini adalah mentaliti yang diperlukan, seperti yang diterapkan dalam inisiatif Road to Gold.

"Saya menghargai usaha dan menyanjungi adik Muhammad Aqil. Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu dirinya menjadi yang terbaik,” ujar Hannah.

Muhammad Aqil, pelajar Program Pendidikan Inklusif Penuh (PPI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara 1, telah dipotong kaki kirinya pada 2015 akibat jangkitan kuman.