ALOR SETAR - Semua gerakan politik di negara ini harus melibatkan Pas sebagai ‘king maker’ untuk perpaduan ummah, kata Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menteri Besar Kedah itu berkata, tanpa penyertaan Pas dalam mana-mana gerakan atau gabungan politik, penyatuan itu tidak akan berhasil.
Menurutnya, UMNO juga tidak boleh mengetepikan peranan Pas dalam banyak isu perpaduan politik sebelum ini yang ternyata menjadi sejarah dalam Muafakat Nasional.
"Kalau Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) nak buat apa-apa pun, kalau tidak libatkan Pas, tidak akan berjaya menyambung hayat politik beliau. Dia (Ahmad Zahid) sedang nazak, UMNO sedang mengalami krisis bawah Ahmad Zahid,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.
Pada Selasa, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak berhasrat menjalinkan semula hubungan kerjasama dengan parti atau pemimpin yang bermuslihat.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pas yang masih terbuka untuk meneruskan agenda penyatuan ummah bersama UMNO.
Ahmad Zahid sebaliknya berkata, kerjasama harus datang daripada keikhlasan dan bukan manipulasi serta beberapa tindakan yang tidak dialu-alukan kerana penuh dengan muslihat.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berkata, sejak negara diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pas sudah mula menguarkan pembentukan kerajaan perpaduan, namun ditolak.
"Pada zaman itu kita dah cadangkan kerajaan perpaduan, semua orang tahulah.
"Dengan Ahmad Zahid dah jadi sejarah. Adakah orang nak kawan dengan dia lagi? Saya rasa orang UMNO pun tak mahu dia. Ramai orang UMNO mengundi PN kerana tak mahu dia (Ahmad Zahid).
"Ada orang (calon PN) menang di Kedah sampai 23,000 majoriti, mai mana? Itu manifestasi penolakan kepada pimpinan Ahmad Zahid. Saya rasa dia sedar benda tu, saja buat-buat tak tau,” jelasnya.
Muhammad Sanusi turut menempelak kenyataan Ahmad Zahid yang menyifatkan Pas sebagai parti penuh muslihat.
"Saya rasa yang banyak muslihat itu PKR. Tok guru dia muslihat banyakkan. Muslihat paling banyak tok guru dia, itulah cikgu. Kombinasi murid dan guru,” sindirnya tanpa menyebut nama pemimpin tersebut.
Menurutnya lagi, Ahmad Zahid juga didakwa penuh dengan muslihat apabila cuba menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Muafakat Nasional.
"Masa gabungan itu ditubuhkan, Ahmad Zahid bercuti. Bila nampak Datuk Mohamad Hasan berupaya pimpin UMNO dengan mengadakan Muafakat Nasional bawah perpaduan ummah dengan Pas. Dia kembali daripada bercuti dan ambil alih, mulalah berlaku perpaduan ummah hanya Pas dan UMNO.
"Itu bukan matlamat sebenar Muafakat Nasional sebaliknya Ahmad Zahid mahu pastikan perpaduan itu hanya berlaku antara Pas dan UMNO, serta menolak Bersatu. Yang bubarkan Muafakat Nasional ialah Ahmad Zahid,” dakwanya lagi.
Muhammad Sanusi menegaskan, semangat perpaduan ummah masih diteruskan sehingga kini namun dalam medium berbeza.
"Penyatuan ummah tak semestinya melalui Muafakat Nasional, insya-ALLAH banyak jalan lain lagi,” katanya.
Ditanya sama ada perpaduan ummah yang dimaksudkan adalah Proklamasi Orang Melayu yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad selain NGO, Muafakat Nasional yang digagaskan oleh Tan Sri Annuar Musa, Muhammad Sanusi berkata, ia perlu diperhalusi sebaiknya.
"Semua itu perlu kepada satu muafakat, perlu bincang untuk perhalusi bagi elok,” ujarnya.