Biar Dr Mahathir selesaikan tanggungjawabnya

Iklan

KOTA BHARU - Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang diminta supaya tidak mempertikaikan tempoh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau berkata, Lim sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan seolah-olah Dr Mahathir tidak mahu berundur daripada menjawat jawatan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kita dapat lihat Dr Mahathir masih mampu dan mempunyai wawasan tersendiri untuk membaik pulih semula negara, jadi tak usah pemimpin lain masuk campur mengeluarkan kenyataan seolah beliau tidak mahu berundur dari jawatannya.

"Dr Mahathir pun sudah banyak kali bagi tahu sampai masa dia akan berundur dan saya percaya dia akan berundur apabila tiba masanya, tapi buat masa ini selagi dia mampu dan selagi rakyat mahu dia akan terus jadi perdana menteri,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada 311 penerima di Majlis Penyampaian Zakat Biro Ekonomi Bersatu Kota Bharu Bersama Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas) di sini, hari ini.

Abdul Rashid mengulas mengenai kenyataan Lim bahawa beliau bersedia untuk berundur dan bersara dari arena politik dan tidak bertanding pada PRU15 sekiranya Dr Mahathir tidak menunaikan janji melepaskan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

Beliau turut melahirkan keyakinan Anwar mampu meneruskan legasi kepimpinan Dr Mahathir selepas menerima jawatan itu kelak.

Abdul Rashid turut menasihatkan pemimpin komponen PH supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana pihak dalam pakatan tersebut.

Sementara itu, seorang penerima, Rokiah Dollah, 53, berkata beliau bersyukur terpilih sebagai penerima bantuan hari ini.

"Saya hanya ibu tunggal dan terpaksa menampung perbelajaan dua anak dan dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan perbelanjaan keluarga.

"Sebelum ini saya bekerja pembantu kedai di sebuah kedai makan namun selepas menjalani pembedahan di kaki akibat kencing manis saya terpaksa berhenti bekerja dan bantuan ini dapat meringankan beban saya,” katanya.-Bernama