Merdeka minda penjawat awam bantu 'bebaskan' masalah rakyat - KSN

Iklan
Para hadirin mengibarkan Jalur Gemilang semasa majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Penjawat awam diseru menambah baik sistem dan cara kerja lama supaya proses menjadi lebih cepat sekali gus dapat menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pengertian kemerdekaan harus dihayati setiap rakyat khususnya penjawat awam bukan sahaja dalam konteks membebaskan diri dari penjajah tetapi membebaskan masalah yang dihadapi rakyat.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH kalau dulu banyak sistem dan cara kerja yang lama, proses itu lambat kita (penjawat awam) percepatkan dan akhirnya yang mendapat faedah adalah rakyat. Itu yang dimaksudkan erti kemerdekaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Iklan

Mohd Zuki berkata, penjawat awam mengalu-alukan hasrat Perdana Menteri supaya membentuk masa hadapan negara yang lebih cemerlang.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, Cuepacs dan penjawat awam sentiasa menyokong hasrat Perdana Menteri dalam mengubah negara ini dengan potensi sedia ada dan memastikan kemajuan serta sistem penyampaian kerajaan sentiasa ditambah baik.

"Pada masa yang sama Perdana Menteri melihat ruang dan potensi bagaimana negara ini mampu berubah dan beralih ke satu tahap yang lebih maju pada masa akan datang," katanya.

Iklan

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul juga menyeru rakyat Malaysia memerdekakan jiwa dan minda dalam menghayati sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

"Ucapan perdana menteri tadi yang pentingnya ialah bukan tentang kemerdekaan fizikal tetapi kemerdekaan pada minda. Tiada gunanya anda mempunyai semua kemajuan tetapi minda terancam," katanya menambah ilmu dan perpaduan penting dalam memastikan kemerdekaan negara ini dikekalkan.

Turut sependapat dengan Johari, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, rakyat perlu memerdekakan minda dan menghayati dengan penuh semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan ke-66 esok.

Anwar ketika menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023 pada Rabu antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.

Perdana Menteri berkata, antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan"merdeka rakyat” iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta betas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud. - Bernama