SKUAD bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara digesa bangkit mencipta kejutan pada Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand, bulan depan.
Malah Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui barisan pemain Harimau Muda telah menunjukkan peningkatan sebelum ini.
Bagaimanapun jelas Hamidin, tambah nilai aspek tumpuan sepenuhnya perlu diberikan skuad muda negara kendalian E Elavarasan itu sekiranya berhasrat menjadi pasukan yang terbaik di rantau ini.
Hamidin juga mengingatkan pemain supaya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan dalam saingan Kumpulan H yang terdiri daripada pasukan tuan rumah, Bangladesh dan Filipina.
"Sebagai pemain kebangsaan, anda perlu memberikan lebih daripada 100 peratus. Apabila beraksi demi negara, anda semua harus berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
"Peluang untuk mewakili Malaysia tidak harus disia-siakan dan saya berharap anda semua mampu melakar sejarah di Chonburi,” katanya dalam hantaran Facebook FAM pada Rabu.
Hamidin sebelum itu meluangkan masa bertemu barisan pemain dan pegawai skuad B-23 negara pada hari pertama kem latihan pusat, menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2023.
KELAYAKAN PIALA ASIA B-23 2023
KUMPULAN H
RABU (6 SEPTEMBER)
Harimau Muda lwn Bangladesh
SABTU (9 SEPTEMBER)
Harimau Muda lwn Filipina
SELASA (12 September)
Harimau Muda lwn Thailand
* Juara kumpulan bersama empat naib juara kumpulan terbaik akan layak ke Piala Asia B-23 Qatar 2024
* Slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.