Cef Song pandu kereta dari KL ke Jerman demi pesakit kanser

Iklan
Wai Song memulakan perjalanannya pada 3 Julai lepas dengan memandu kereta miliknya Mercedes-Benz W115, sedan 1974 yang dicat khas, untuk merentasi 21 negara.

KUALA LUMPUR - Pastinya bukan suatu tugas mudah untuk menempuh perjalanan sejauh 25,000 kilometer (km) dari Kuala Lumpur ke Stuttgart, Jerman, bagi mengumpul dana RM250,000 menerusi kempen 'Vroom with Pink Crowd Fund', dengan matlamat membantu Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Namun, Seet Wai Song, 65, penduduk Taman Tun Dr Ismail di sini, berjaya memulakan perjalanannya pada 3 Julai lepas dengan memandu kereta miliknya Mercedes-Benz W115, sedan 1974 yang dicat khas, untuk merentasi 21 negara dan mengambil masa lebih 60 hari dalam pengembaraanya itu.

Iklan
Iklan

Dia menjangkakan akan menamatkan perjalanannya itu pada awal September.

Ketika ditemu ramah oleh Bernama, pengembaraan Seet telahpun meliputi Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Rusia, Georgia, Turkiye, Bulgaria, Romania, Hungary dan Austria.

Iklan

"Saya kini berada di Hattingen, Jerman, saya tiba lebih awal daripada jadual dan tepat pada masanya untuk meraikan acara Schoene Sterne 2023, festival untuk peminat Mercedes-Benz. Justeru, perjalanan jauh ini begitu bermakna dan sangat istimewa buat saya.

"Saya akan meneruskan perjalanan ke Stuttgart dan kemudian ke Switzerland dan Perancis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Rabu.

Iklan
Cef Song kumpul dana RM250,000 menerusi kempen 'Vroom with Pink Crowd Fund'.

Usahawan Chef on Wheels, juga dikenali sebagai Cef Song itu berkata, setakat ini dia berjaya mengumpul lebih RM8,000, dan bercadang untuk menganjurkan majlis makan malam bagi mengumpul dana di Malaysia bagi menambah jumlah dana jika gagal mencapai matlamat.

"Saya memulakan kempen 'Vroom with Pink Crowd Fund', dengan mencadangkan derma RM10 untuk setiap km perjalanan, jadi saya sedaya upaya berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin derma.

Bercerita lanjut perjalanan sejauh 25,000 km itu, Seet berkata, hasratnya itu telah dirancang awal, sebelum bermulanya pandemik Covid-19 dan ia merupakan impian tertunda yang kini menjadi kenyataan.

Menurut Seet, dia perlu merancang lebih awal kerana negara tertentu seperti China dan Rusia memerlukan pelbagai keperluan visa dan dokumen perjalanan.

"Negara lain, bagaimanapun, membenarkan perjalanan tanpa visa dalam tempoh 90 hari, jadi perjalanan melintasi sempadan kelihatan agak lancar," katanya sambil menambah bahawa dia juga melawat hospital kanser di sepanjang perjalanannya di Thailand dan Georgia untuk menilai operasi mereka dan meningkatkan kesedaran tentang pengembaraanya itu.

Untuk mengikuti perkembangan harian perjalanan Seet, boleh melayari profil Facebooknya di https://www.facebook.com/seet.song.

Bagi membantu Seet mencapai sasaran dermanya sebanyak RM250,000 atau untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari https://www.givinghub.asia/campaigns/vroom-with-pink-crowd-fund. - Bernama