IPOH - Pasir Salak Bangkit akan bergerak aktif memperjuangkan nasib orang Melayu dan bukannya kepentingan peribadi, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Selaku presiden, beliau memberi jaminan perjuangan badan bukan kerajaan (NGO) itu didasari semangat untuk melihat kuasa Melayu kembali dalam politik, ekonomi dan pendidikan.
"Kita sebagai NGO yang bukan sembarangan, ini NGO yang nak membela nasib rakyat terutama orang Melayu yang masih ketinggalan.
"Jadi bukannya nak syok sendiri, kita tak mahu NGO ini sebagai tempat untuk memuaskan emosi ataupun nafsu peribadi yang hanya gilakan publisiti dan jawatan," katanya kepada pemberita sempena Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di pekarangan kediamannya di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Gajah dekat sini pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu menyifatkan matlamat membela nasib Melayu masih jauh daripada sasaran untuk dicapai meskipun terdapat banyak persatuan Melayu diwujudkan.
Katanya, tidak seperti NGO bangsa lain, perjuangan mereka antaranya yang digerakkan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) jauh lebih ke hadapan dalam membela pendidikan, budaya dan bahasa.
"Tetapi kita, mana NGO Melayu sekarang yang kononnya nak jadi platform membela bangsa, ada la dengar sikit-sikit tetapi itu pun tidak mencapai apa-apa, hanya cakap sahaja.
"Bukanlah bermaksud kita menentang program NGO untuk menolong bangsa lain, itu mereka buatlah. Cumanya kita ini sudahlah tenaga kurang dan kalau tidak digunakan sumber-sumber yang ada untuk membela orang Melayu, apa yang tinggal kepada kita sedangkan NGO mereka lagi hebat," katanya.
Tajuddin turut memberi jaminan bahawa NGO itu akan berperanan sebagai pemantau terhadap pelaksanaan dasar-dasar dan program kerajaan yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu.
Ujarnya, walaupun pentadbiran kerajaan dan perdana menteri saling bertukar, kebanyakan isu dibawa merupakan masalah lama yang masih tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh antaranya usaha meningkatkan pendapatan petani.
"Sebab isu ini kadang berkait dengan pelaksanaan, dasar sudah ada tetapi ada yang mengabaikan peranan hingga menyebabkan penyampaian dasar kerajaan tidak berubah, perlahan dan masih di takuk sama," katanya.
Setakat ini, Pasir Salak Bangkit bergabung bersama empat NGO lain sebagai ahli bersekutu iaitu Evolusi Pasir Salak, Eqlas Belianita, Keramat Rabbiah dan Anak Sungai Bangkit.
Himpunan Melayu Bangkit 2.0 yang diadakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 itu dihadiri hampir 2,000 penduduk setempat.