Digantung UMNO: Tajuddin dakwa ada pihak cuba sabotaj rayuan

Iklan
Tajuddin

PASIR SALAK - Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ada pihak cuba melakukan sabotaj terhadap rayuan penggantungnya sebagai ahli UMNO.

Beliau berkata, usaha itu dikesan dibawa Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak dalam mesyuarat tiga minggu lalu yang antara lainnya mendesak pucuk pimpinan tidak melayan sebarang rayuan dibuat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usul berkenaan dimaklumkan mendapat sokongan majoriti besar ahli jawatankuasa, sementara hanya sebilangan kecil tidak bersetuju.

"Mereka buat satu desakan kepada pucuk pimpinan parti supaya permohonan saya dilepaskan daripada pergantungan tidak dilayan, bermakna mereka tak setuju saya kembali kepada UMNO.

Iklan

"Kononnya saya ini masih lagi menentang Presiden UMNO, menimbulkan masalah kepada parti hingga menyebabkan kekalahan calon-calon dalam pilihan raya lalu," katanya kepada pemberita sempena Himpunan Melayu Bangkit 2.0 di pekarangan kediamannya di Jalan Tanjung Tualang, Kampung Gajah dekat sini pada Rabu.

Tajuddin yang pernah menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak menolak kemungkinan, usaha itu dibuat kerana terdapat ura-ura bahawa rayuannya bakal diterima pucuk pimpinan.

Iklan

Katanya, sebagai orang lama dalam parti, adalah sesuatu jarang berlaku seorang ahli itu digantung dalam tempoh lama hingga habis penggal.

"Kemungkinan rayuan saya (tarik semula penggantungan keahlian) berjaya, sebab itu mereka cepat-cepat buat usul supaya saya terus dibuang dari UMNO.

"Saya tak pastilah sama ada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan pimpinan tertinggi parti akan dengar cakap mereka atau tidak, tetapi ini satu usaha yang teruk dan tak 'gentleman' langsung," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun enggan memberi ulasan lanjut terhadap dakwaan berkenaan.

"Tiada komen," katanya menerusi pesanan ringkas di WhatsApp.

Tajuddin sebelum ini dilapor telah mengemukakan rayuan sebanyak empat kali, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas daripada parti.

Beliau bersama Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail telah digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat MKT UMNO yang diadakan pada 30 September tahun lalu.