BESUT - [DIKEMAS KINI]"Adik ada banyak dosa dengan mama, boleh ke adik masuk syurga?"
Demikian ungkapan sayu seorang kanak-kanak yang menderita barah saraf atau neuroblastoma tahap empat.
Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid, 9 dari Kampung Nail, Kuala Besut di sini disahkan menghidap penyakit itu sejak November 2020 dan tahap kesihatannya semakin merosot sejak pertengahan tahun ini.
Ibunya, Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, kebelakangan ini Nur Afina Sofea sering bertanya sama ada dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini dimaafkan dan adakah dia tergolong dalam kalangan ahli syurga.
Menurutnya, anak bongsu dari empat beradik itu juga pernah memberitahu berasa takut untuk tidur kerana bimbang 'tidak bangun' lagi dan tidak dapat membuka mata.
"Dia cakap dia banyak dosa. Dia cakap boleh ke adik masuk syurga sebab adik banyak dosa dengan mama.. dengan ayah.
"Setiap kali teringat apa yang diungkapkan Sofea saya sedih. Tak dapat nak ungkap dengan kata-kata.
"Sofea anak yang baik. Anak bijak dan pintar serta petah berkata-kata. ALLAH SWT uji Sofea dengan penyakit ini sebab Dia tahu Sofea anak yang kuat.
"Saya selalu tenangkan hati dia, beritahu dia masih kecil dan tiada dosa. Saya sentiasa maafkan dia dan berharap dapat bertemu dia di syurga," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Nor Adibah sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan namun terpaksa berhenti kerja sejak Mac lalu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak bongsunya itu.
Suaminya, Tuan Khalid Tuan Hamat, 44, yang bekerja sebagai nelayan kini tidak turun ke laut kerana bimbang keadaan kesihatan Sofea yang semakin teruk.
"Masa mula-mula dikesan kena kanser tu mata kanan Sofea sudah kabur dan tak nampak.
"Rahang sebelah kanan juga mula membengkak.Sekarang ni mata kiri juga alami perkara sama. Kedua-dua mata Sofea kini tidak boleh melihat.
"Sebab itulah Sofea perlu dijaga sepenuhnya. Bengkak pada bahagian kepala Sofea juga mula ketara sejak awal tahun ini," katanya.
Nor Adibah memberitahu, Sofea telah menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 16 sesi selama setahun bermula 2020 hingga 2021 namun kuman kanser merebak dengan cepat ke bahagian organ tubuhnya yang lain.
Katanya, berat badan anaknya itu juga semakin menyusut sehingga 13 kilogram (kg) daripada 27kg.
Bercerita ketika mula-mula disahkan menghidap penyakit itu tiga tahun lalu, Nur Afina Sofea mengadu sakit pada rahang sebelum diberikan antibiotik.
"Selepas dua bulan makan antibiotik bengkak pada rahang tetap tidak surut. Bila buat pemeriksaan x-ray doktor beritahu tiada apa-apa.
"Selepas buat CT Scan (ujian imbasan tomografi berkomputer) baru tahu kanser dia dah tahap empat.
"Waktu tu doktor kata Sofea dijangka hanya mampu' bertahan' dua bulan sahaja," katanya.
Menurut Nor Adibah, walaupun telah disahkan menghidap kanser anaknya sempat menghabiskan persekolahan ketika Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Kg Nail.
"Selama setahun dia sempat bersekolah. Masa di sekolah dia aktif. Sofea simpan impian nak jadi seorang ustazah, sayangnya tak sempat.
"Tahun ini dia dah tak ke sekolah selepas tidak boleh berjalan dan perlu didukung. Saya tahu Sofea sedih kerana sudah tidak boleh ke sekolah.
"Apa jua yang berlaku saya pasrah dan reda. Doktor beritahu bila-bila masa sahaja dia boleh 'pergi'," katanya.
Sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank atas nama Nor Adibah Ahmad (2006361000330941) atau BSN Tuan Khalid Tuan Hamat (1111841100071469) atau hubungi talian 011-25484775 (Nor Adibah).