KUALA LUMPUR - Pemulihan Stadium Merdeka, lokasi keramat pengisytiharan kemerdekaan negara pada tahun 1957, dan pembangunan Menara Merdeka 118 yang berdiri gah bersebelahannya benar-benar mencerminkan sejauh mana negara telah berkembang maju.
Bangunan ikonik itu bakal dibuka secara rasmi pada akhir tahun ini dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pemilik Merdeka 118, akan berpindah ke tingkat 17 menara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd, Tengku Datuk Ab Aziz Tengku Mahmud.
PNB memiliki Merdeka 118 melalui anak syarikat milik penuhnya, PNB Merdeka Ventures.
Kerja asas bagi pemulihan Stadium Merdeka dan juga pembangunan bangunan ikonik terbaharu negara bermula itu pada 2016, tetapi pandemik Covid-19 telah menyebabkan usaha penyiapannya tertangguh selama setahun.
"Kami kini berada di fasa akhir untuk mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat.
"Selepas PNB berpindah dari lokasinya ketika ini di Menara PNB, Jalan Tun Razak, penyewa utama kami, Maybank, dijangka berpindah tahun depan, menjadikan menara itu 70 peratus diduduki," katanya.
Tengku Ab Aziz juga berkata, Stadium Merdeka dijangka dibuka semula kepada orang ramai menjelang suku pertama tahun depan selepas ditutup sejak 2016, manakala Stadium Negara tertutup dijadualkan untuk pengubahsuaian.
Bercakap kepada pemberita semasa sesi lawatan media ke bangunan pencakar langit itu baru-baru ini, beliau berkata penyewa utama lain ialah hotel Park Hyatt bertaraf lima bintang, yang menduduki 17 tingkat (dari aras 100 hingga 117) dengan 252 bilik.
Manakala gedung membeli belah 118 Mall setinggi tujuh tingkat dijangka siap pada 2024.
Apabila siap sepenuhnya kelak pada 2027, Merdeka 118 yang menampilkan menara canggih setinggi 678.9 meter itu akan mengubah kawasan persekitarannya yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti sukannya, menjadi mercu tanda baharu baharu ibu kota dengan bangunan pejabat premiumnya, hotel mewah, pusat membeli-belah moden, kediaman, tapak warisan, muzium dan masjid.
Bangunan pencakar langit terbaharu di bandar raya itu adalah yang kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa Dubai pada ketinggian 828 meter.
Direka bentuk oleh Fender Katsalidis dari Melbourne, yang juga terlibat dengan pembinaan Burj Khalifa, struktur itu termasuk puncak menara 40 tingkat (160.4 meter).
Pembangunan menara kediaman
Menurut Tengku Ab Aziz, pembangunan utama lain di kawasan itu termasuk Menara Timur Merdeka Residences setinggi 65 tingkat dan Menara Barat Merdeka Residences setinggi 63 tingkat, serta kediaman berperkhidmatan Oakwood Premier Kuala Lumpur.
Pembangunan Merdeka 118 yang menelan kos RM5 bilion itu mempunyai 3.1 juta kaki persegi ruang lantai dan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, setinggi 500 meter.
Tengku Ab Aziz berkata, pembangunan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM7 bilion.
Merdeka 118 terdiri daripada kira-kira 18,000 panel kaca yang membentuk penampilan luar kristal menara itu dan pemasangan panel akhir menandakan menara itu 95 peratus telah siap.
Mengenai kebimbangan pembangunan itu akan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut, yang berhampiran dengan Petaling Street, Tengku Ab Aziz memberi jaminan menara itu akan mudah untuk diakses menerusi pengangkutan awam berhampiran seperti stesen MRT Merdekanya sendiri, dan akses ke stesen LRT Hang Tuah dan Plaza Rakyat, serta hentian monorel Maharajalela dan Hang Tuah.
"Aliran trafik juga akan dibuka sehala untuk mengurangkan kesesakan apabila bangunan pencakar langit itu beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Selain pengangkutan awam, menara itu juga mempunyai sambungan terus melalui Terowong Belfield, akses dari Lebuhraya Persekutuan, serta Jalan Damansara atau Jalan Istana.
97.8 peratus siap, tumpuan kepada kelestarian
Sehingga Ogos 2023, Merdeka 118 merupakan menara pertama di Malaysia yang berusaha untuk mencapai penilaian platinum hijau tiga kali ganda dengan pensijilan kelestarian antarabangsa dan kerja-kerja telah 97.8 peratus siap.
Tengku Ab Aziz juga berkata syarikat antarabangsa turut menunjukkan minat untuk beroperasi di Merdeka 118, dan ramai yang mencari bangunan yang bercirikan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana tidak banyak bangunan yang diperakui ESG di bandar raya ini.
"Ruang pejabat dibuka untuk disewa pada harga RM20 sekaki persegi,” katanya.
Walaupun ramai orang yang mungkin agak keliru tentang fungsi antara Tun Razak Exchange (TRX) dan Merdeka 118, Tengku Ab Aziz menjelaskan bahawa bangunan kedua tertinggi di dunia akan dikategorikan sepenuhnya sebagai bangunan warisan, budaya dan lestari Malaysia untuk menjadi penanda aras industri bagi ciri-ciri kelestarian dan bukannya sebagai hab kewangan.
Menurutnya reka bentuk Merdeka 118 adalah berdasarkan siluet (bayang) Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang mengangkat tangan sambil melaungkan laungan"Merdeka!”pada 31 Ogos 1957, manakala puncak menara di atas bangunan itu mencerminkan imej bapa kemerdekaan mengangkat tangan beliau semasa pengisytiharan kemerdekaan.
Pemandangan menakjubkan Merdeka 118 dari Stadium Merdeka memberikan pengalaman dan gambaran suasana perjalanan masa dari tahun 1957 hingga ke hari ini, manakala pembangunan dan seni bina moden, merupakan manifestasi kemajuan pesat negara sejak enam dekad yang lalu. - Bernama.