'Kerja sendiri' alasan warga asing pandu kenderaan tanpa lesen

Iklan
Anggota JPJ memeriksa sebuah motosikal roda tiga yang digunakan oleh warga asing semasa Ops Pewa di Paya Jaras, Selangor pada Selasa.

SUNGAI BULOH - Sekadar bekerja sendiri dan menjual aiskrim menjadi alasan utama warga asing setelah ditahan dalam operasi pemandu warga asing (Ops Pewa) yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Paya Jaras, dekat sini pada Selasa.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pihaknya telah menjalankan Ops Pewa secara statik serta rondaan di lokasi sekitar daerah Paya Jaras bagi memeriksa kumpulan pemandu warga asing di kawasan tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, kebanyakan yang ditahan menyatakan menggunakan kenderaan bagi tujuan kerja sendiri iaitu memotong rumput, mengutip besi buruk, menjual aiskrim serta menjadi pemandu lori 'roro' yang membawa bahan terbuang.

"Sebanyak dua pemandu masing-masing dari India, Bangladesh dan Pakistan serta seorang dari Indonesia telah ditahan dalam Ops Pewa yang diadakan pada Selasa.

Antara barangan jualan yang dijual oleh warga asing menggunakan motosikal roda tiga.

Iklan

"Kesemua yang ditahan adalah lelaki yang berusia 23 hingga 35 tahun, sementara sebanyak sembilan buah kenderaan disita iaitu empat motosikal roda tiga, motosikal (4) serta sebuah lori 'roro'.

"Tiada tangkapan melibatkan pemandu warga asing dan dipercayai dua pemandu warga asing berjaya melarikan diri dalam operasi ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Ahmad Kamarunzaman berkata, sebanyak 74 buah kenderaan diperiksa dan 64 notis dikeluarkan sepanjang operasi bermula jam 10 pagi hingga 1 petang.

Menurut beliau, pemeriksaan yang dijalankan turut memberi fokus kepada pemeriksaan semua jenis kenderaan dipandu atau ditunggang warga asing, lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu.

Jelasnya, antara kesalahan yang dikesan dan diambil tindakan adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan ujian memandu perdagangan (GDL), LKM tamat tempoh, tiada insurans serta kesalahan teknikal.

Tegas beliau, kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan telah diambil tindakan dengan dikenakan saman serta notis amaran.

"JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua jenis kenderaan agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.

"Sebarang aduan kesalahan lalulintas, orang ramai boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan serta butiran pengadu dan aduan," ujarnya.