KOTA BHARU - Kelahiran anak sulung sempena sambutan Hari Kebangsaan begitu bermakna kepada pasangan Nur Amirah Hanim Che Hashim, 31, dan Dr Abdul Hakim Awang Nila, 31.
Lebih menggembirakan Nur Amirah, sebaik sahaja bayi lelakinya dilahirkan, dia terdengar dentuman bunga api dari Stadium Sultan Muhammad IV yang jaraknya hanya kira-kira 400 meter dari hospital.
Dia selamat bersalin pada jam 12.05 tengah malam ditemani suami selepas kira-kira tiga jam menahan sakit.
"Saya dimasukkan ke wad, KPJ Perdana Specialist Hospital pada jam 6.30 petang Rabu untuk pemantauan doktor kerana sudah berasa tidak selesa untuk bersalin.
"Pada jam 11.57 malam saya bersedia untuk bersalin dan beberapa minit kemudian terdengar dentuman bunga api dan kemeriahan orang ramai menyambut kemerdekaan di stadium," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurut Nur Amirah, dia dijangka pada 1 September tetapi tidak menyangka lebih awal sehari dan paling istimewa sempena ketika rakyat sedang meraikan hari penting dalam negara.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua doktor dan jururawat kerana semuanya berjalan lancar dan bayi juga dalam keadaan sihat," katanya.
Dia dan suami sebelum itu sudah mengetahui jantina anak mereka dan mempunyai nama untuk bayi comel mereka.
"Saya mendoakan anak kami sentiasa sihat, menjadi anak yang baik dan paling penting mempunyai jiwa dan semangat patriotik terhadap negara sesuai hari kelahirannya," katanya.