JOHOR BAHRU - Calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat menyifatkan risalah terbaharu biodata beliau yang meletakkan logo BN dan mula diedarkan pada Khamis akan membantunya berkempen di kawasan Melayu semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut.
Menurutnya, risalah yang dicetak sebanyak 20,000 keping itu akan diedarkan jentera UMNO di kawasan majoriti Melayu supaya pengundi dapat mengenalinya dengan lebih dekat.
"Risalah tambahan ini merupakan biodata saya sebagai calon PH dan BN di Parlimen Pulai serta pertama kali meletakkan logo BN dan PH. Risalah pertama sebanyak 40,000 keping sebelum ini hanya ada logo PH.
"Ini bertujuan menarik pengundi Melayu yang masih keliru atau sangsi bahawa saya bukan sahaja calon PH tetapi juga mewakili BN," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu bertemu orang ramai semasa berkempen di Restoran ABDA di bandar raya ini sebelum mendengar taklimat daripada jentera PH dan BN.
Minggu lalu sebanyak 11 kain rentang dengan tulisan 'Cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon Pakatan Harapan' yang digantung sekitar daerah ini sekali gus tular dalam media sosial.
Susulan itu pada Sabtu, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan bertemu ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk berusaha keras memujuk mereka yang tidak mahu menyokong Suhaizan pada PRK Parlimen Pulai.
Sementara itu, beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berkata, kerjasama antara PH dan BN berjalan baik serta menyifatkan hubungan itu sebagai saling melengkapi.
Katanya, peranan UMNO dan BN sangat signifikan kerana mengisi kelompongan yang ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini semasa berada dalam PH.
Beliau berharap, kerjasama tersebut bukan sahaja dalam PRK tersebut tetapi untuk jangka masa panjang dalam Kerajaan Perpaduan dengan masing-masing memberikan kritikan membina.
"Apabila UMNO bekerjasama dengan PH, selepas ini kita tidak perlu lagi berebut kerusi di kawasan Melayu pada pilihan raya akan datang. PH akan tumpu di kawasan bukan Melayu manakala UMNO pula di kawasan Melayu," katanya.