JAKARTA - Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Indonesia menyekat 174 akaun dan kandungan internet yang disyaki mengandungi aktiviti indoktrinasi dan menyebarkan ideologi radikal, sejak Julai hingga hari ini.
Kandungan itu disebarkan melalui pelbagai platform digital, dengan 116 kandungan di X (Twitter), diikuti 46 di Facebook, 11 di Instagram dan satu di YouTube.
Dalam satu kenyataan, menterinya, Budi Arie Setiadi berkata, tindakan itu selari dengan arahan Presiden, Joko Widodo untuk memastikan pilihan raya 2024 dapat dijalankan dengan aman.
Tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Angkatan Bersenjata Nasional Indonesia dan Agensi Memerangi Keganasan Nasional dengan menjalankan pemantauan terhadap platform digital.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan itu, didapati terdapat peningkatan ketara dalam penyebaran kandungan radikal, beberapa daripadanya bergabung dengan Jemaah Ansharud Daulah (JAD) dan Jamaah Islamiah (JI).
Keganasan antara isu yang menjadi tumpuan utama pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan ke-17 di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur minggu lalu.
Indonesia selaku negara tuan rumah, menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau untuk menangani ancaman ini yang berpotensi mengganggu kestabilan rantau ini.
"Kumpulan pengganas di sebuah negara boleh menimbulkan ancaman kepada seluruh rantau,” kata jurucakap unit polis antikeganasan elit Indonesia, Aswin Siregar. - Bernama