Rakyat main peranan semat semangat kenegaraan, cinta tanah air

Iklan
Perbarisan anggota Briged Para Angkatan Tentera Malaysia menarik perhatian semasa sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya pada Khamis.

SAMBUTAN Hari Kebangsaan ke-66 yang berlangsung di beberapa kawasan melibatkan Putrajaya, Perak, Kedah, Negeri Sembilan, Kuala Terengganu dan Pahang menarik ribuan pengunjung untuk menyaksikan acara anjuran Kerajaan Perpaduan itu.

Dataran Putrajaya menyaksikan lebih 100,000 orang pengunjung yang hadir bagi menyaksikan Hari Kebangsaan 2023 yang melibatkan 17,262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmatan.

Iklan
Iklan

Selaras dengan sambutan hari bersejarah itu, ramai tokoh pemimpin negara yang menzahirkan rasa syukur dan penghargaan menerusi kenyataan mereka di platform media sosial.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di laman Facebook beliau pada Khamis berkata, beliau berharap agar semangat kemerdekaan rakyat itu terus diperkukuhkan dan tersemat jitu di setiap sanubari segenap lapisan masyarakat.

Iklan

Ujarnya, semangat perpaduan yang diperlihatkan oleh rakyat ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 itu yang diperlukan oleh Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang hebat.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu hantaran video di Facebook beliau pada Rabu tidak ketinggalan menyampaikan pandangan sempena Hari Kebangsaan tahun ini.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata, kemerdekaan yang dibayar dengan darah, keringat dan air mata telah membebaskan negara daripada terus ditindas.

Jelasnya, selepas mengecapi kemerdekaan, Malaysia berjaya menjadi negara yang cemerlang dan membangun dengan lebih pesat.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengingatkan rakyat Malaysia untuk tidak melupakan asas kemerdekaan negara dibina atas terma mengenai hak-hak kaum yang telah dipersetujui secara bersama oleh pemimpin terdahulu.

Ulasnya menerusi siaran di Facebook pada Rabu, pematuhan kontrak sosial telah menjadi asas kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup secara aman dan harmoni.

Selain itu, bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa rakyat perlu menerapkan rasa kebertanggungjawaban kepada negara dan memupuk semangat patriotisme serta jati diri yang murni kepada negara yang tercinta.

Katanya, keamanan, kemakmuran dan pembangunan yang pesat itu bukan hadir disebabkan pengorbanan dalam sehari.

Melalui kata-kata yang disampaikan oleh bekas pemimpin dan pemerintah negara ini, adalah jelas bahawa perpaduan dan semangat patriotisme rakyat adalah kunci kepada kemerdekaan negara.

Kemerdekaan yang dikecapi hingga hari ini tidak seharusnya dirosakkan dengan sentimen-sentimen yang boleh mengganggu-gugat keharmonian kaum, bangsa dan agama.

Sebaliknya, rakyat perlu memainkan peranan dalam menyemat semangat kenegaraan dan cintakan tanah air dengan harapan hasrat untuk terus mengekalkan keamanan negara ini dapat direalisasikan.