[VIDEO] Angkara cemburu, remaja didakwa bunuh rakan

Iklan

TELUK INTAN - Padah cemburu buta, seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga kenalannya dekat Rungkup, bulan lalu.

Tertuduh yang memakai baju-t kelabu dan berseluar jeans biru gelap hanya menunduk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada juvana berusia 17 tahun itu.

Mengikut pertuduhan dia didakwa membunuh P Hariaran, 21, di tepi Jalan Pasir Kampung Payung Baroh, Selekoh dalam daerah Bagan Datuk antara jam 6 petang hingga 8.30 malam, pada 20 Ogos 2023.

Iklan
Remaja lelaki berusia 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas tuduhan membunuh seorang lelaki yang juga kenalannya dekat Rungkup, bulan lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, jika sabit kesalahan.

Sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Cheah Shuh Yuan manakala tertuduh diwakili Peguam Charanjit Singh.

Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan DNA dan kimia.

Remaja yang sudah tidak bersekolah itu telah direman selama tujuh hari bermula tarikh tangkapan Sabtu lalu.

Hasil keterangan dan siasatan polis mendapati, punca kejadian adalah disebabkan tertuduh cemburu kerana mangsa dikatakan telah mengganggu teman wanitanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, mayat lelaki yang sudah reput ditemui dalam keadaan tertiarap dalam parit, 23 Ogos lalu.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan kelar pada leher dan luka di kepala.