Rakyat bosan dengar cerita kerajaan Persekutuan akan bertukar

Iklan
Mohd Hairi (tengah) bersama bersama peserta dalam Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Johor Bahru pada Jumaat

JOHOR BAHRU - Rakyat sudah bosan mendengar cerita tidak masuk akal yang dicanangkan Presiden Pas, Tan Sri Abul Hadi Awang bahawa keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan mengubah kerajaan Persekutuan.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Md Shah berkata, rakyat sudah letih dengan dakwaan sedemikian dan menyatakan sepatutnya Perikatan Nasional (PN) menyatakan tawaran mereka untuk orang Johor.

Iklan
Iklan

"Tidak masuk akal (dakwaan PRK ini akan mengubah kerajaan Persekutuan).

Saya tidak tahu solusi atau bagamaimana cara yang boleh adaptasi sehingga boleh membentuk kerajaan baharu.

Iklan

"Saya seru kepimpinan parti PN dan Pas yang datang ke Johor berikan solusi kepada (masalah) rakyat dan bukan hanya dengan topik dongeng.

Rakyat dah letih untuk mendengar cerita ini.

Iklan

"Kalau kita lihat di Kelantan, Terengganu dan Kedah, dalam masa beberapa hari (selepas PN menang di tiga negeri itu) akhirnya Menteri Besar mereka menghadap juga Perdana Menteri.

Jadi penting kerajaan negeri dan kerajaan pusat selari," katanya.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Sukan Bangsa Johor Tahun 2023 di Stadium Arena Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini pada Jumaat.

Abdul Hadi ketika ditemui di Markas Pas Pulai di sini pada malam Ahad mendakwa, keputusan memberangsangkan gabungan PN pada PRK Parlimen Pulai pada 9 September ini boleh menjadi pencetus kepada perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Hairi meminta pengundi supaya tidak termakan dengan anasir-anasir dari luar yang cuba dibawa masuk dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kerana tidak sesuai dengan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, Johor mempunyai cara dan agendanya sendiri seperti yang dijelaskan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam memacu kemajuan negeri ini.

"Agenda kita besar iaitu agenda Johor.

Kita ada agenda kita, ramuan kita sendiri dan berpolitik pun ikut cara kita sendiri," tegasnya.

Mengenai sambutan kempen PRK kali ini yang dilihat hambar, beliau mendakwa, suasana itu hanya berlaku pada pihak PN namun bagi pihak Pakatan Harapan (PH) dan BN, pelbagai gerak kerja disusun sepanjang berkempen.

"Saya lihat di peringkat BN dan PH kerjasama cukup baik selepas pilihan raya negeri (PRN) lepas.

Saya tidak nampak cacat cela cuma saya letakkan harapan kepada semua di Pulai dan Simpang Jeram terus beri kepercayaan dengan agenda Johor," katanya.

"Tinjauan terhadap orang muda menunjukkan pola atau mereka sudah tidak mahu dengar pasal politik BN atau PN tapi 48.6 peratus lebih suka (mendengar) kepada agenda Johor," katanya.

Perkembangan itu ujarnya, menunjukkan rakyat faham dan tahu menilai agenda Johor tawarkan dan pada masa mengingatkan penduduk dari negeri di pantai timur atau utara yang bekerja di negeri ini supaya tidak mempengaruhi pengundi dengan anasir tidak sepatutnya.