KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa untuk menunaikan ikrar bagi mempertahankan kebebasan bersuara dan melindungi kebebasan media seperti mana dijanjikan dalam manifesto beliau.
Gesaan itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang melahirkan kebimbangan mengenai isu kebebasan bersuara susulan beberapa saluran media yang disekat termasuk portal berita MalaysiaNow dan TV Pertiwi.
"Saya melihat kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan - Barisan Nasional) semakin terdesak dan bimbang dengan gelombang penerimaan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN).
"Kita melihat sekatan kepada akses media ini adalah tindakan yang terdesak dan bercanggah dengan perjuangan Anwar sebelum ini yang selalu membantah corak pentadbiran kerajaan terdahulu.
"Saya menyokong desakan oleh Wartawan Kanan yang mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak bertindak seolah-olah sebagai"Big Brother" (Abang Besar) dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Selasa lalu, lapan veteran media tempatan menyatakan kebimbangan apabila kebanyakan kandungan portal berita yang dilabelkan sebagai 'menyinggung' dan hanya pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan, disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
Mereka dalam kenyataan bersama meluahkan kebimbangan itu apabila MCMC sejak akhir-akhir ini dilihat sering memanggil pengamal media untuk memberikan penjelasan mengenai kandungan yang dilaporkan menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk A Kadir Jasin, Datuk Hussamuddin Yaacob, Datuk Seri Azman Ujang dan Datuk Dr Chamil Wariya.
Turut serta dalam kenyataan bersama itu ialah Datuk Yong Soo Heong, Datuk Zakaria Wahab dan Dr G Manimaran.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sudah sampai masanya rakyat dicelikkan dan difahamkan tentang sesuatu perkara dengan maklumat benar.
Justeru itu tegasnya, Kerajaan harus memberi rakyat peluang mempertimbangkan pilihan mereka hasil dari kebebasan bermaklumat. - Awani
ARTIKEL BERKAITAN:
SKMM harus berhenti daripada bertindak sebagai 'Big Brother' - Wartawan Kanan