PENJAGA gol nombor satu skuad bola sepak negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed teruja untuk berdepan Syria dan China pada perlawanan antarabangsa di Chengdu, bulan ini.
Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berusia 27 tahun itu berkata, skuad Harimau Malaya bakal meraih pengalaman baharu serta dapat mengenal pasti kelemahan apabila menentang Syria dan China yang merupakan pasukan 100 terbaik dunia berbanding Malaysia di posisi ke-136.
"Alhamdulillah, kami dapat aksi persahabatan dengan pasukan ranking lagi tinggi, daripada situ kami boleh dapat satu pengalaman daripada setiap perlawanan, apa yang kami perlu belajar dan apa yang kami perlu perbaiki,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Syihan juga bersedia menjaga rapi gawang negara sekali gus membuktikan kecekapan walaupun kemampuannya seakan tidak diuji dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) bersama JDT yang turut dipengaruhi kekebalan benteng pertahanan skuad Harimau Selatan itu.
Beliau berkata, komitmen yang tinggi menyaksikan keseluruhan pemain negara juga bersedia untuk menyaingi Syria dan China yang masing-masing pasukan ke-94 dan ke-80 dunia.
Sebagai rekod, Malaysia akan menentang Syria pada 6 September dan berdepan China tiga hari kemudian.
Sebagai rekod juga, Ahmad Syihan antara tiga penjaga gol disenaraikan pengendali skuad kebangsaan Kim Pan-gon yang turut memanggil Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dari Kedah Darul Aman FC dan pemain Sabah FC Damien Lim bagi aksi persahabatan menentang Syria dan China.
Bekas penjaga gol Negeri Sembilan FC itu hanya bolos sekali dalam tiga daripada keseluruhan empat aksi persahabatan sejak Mac lepas masing-masing ketika Malaysia mengatasi Turkmenistan 1-0, Hong Kong 2-0 dan Kepulauan Solomon 4-1.
Syihan direhatkan ketika Malaysia membelasah Papua New Guinea 10-0 pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu, Jun lalu.