IPOH –"Islam menjadikan hidup saya jauh lebih tenang,” kata Irene Tan, 40, seorang ibu tunggal yang memeluk Islam sejak tiga tahun lalu.
Wanita berketurunan India itu sejak lahir dijaga sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Cina di Taiping.
Meskipun menjalani hidup bahagia bersama keluarga angkat, Irene yang memeluk Islam pada 2017 dan menggunakan nama baharu, Aishah Tan tetap merasakan kekosongan dalam jiwanya.
Kelahiran anak perempuannya, Nur Amira yang kini berusia 16 tahun menjadi pencetus rahmat sehingga menyebabkan hatinya terbuka mendekati Islam.
Aishah berkata, sejak berusia 5 tahun, Nur Amira sering berdandan menggunakan tuala seolah memakai tudung dan ada ketikanya mengalunkan surah Al-Fatihah sepertimana di televisyen.
"Melihatkan kelakuan anak kecil itu, terdetik di hati seolah dia menunjukkan jalan menjadi seorang Muslim, dari situ saya mula mempelajari Islam sedikit demi sedikit.
"Sejak kecil saya dikelilingi rakan Melayu, malah pengasuh saya juga seorang warga Pakistan beragama Islam, tetapi ketika itu tidak pernah terbuka untuk memeluk agama berkenaan.
"Walaupun agak terlewat, saya tetap bersyukur dapat memeluk Islam dan menjadikannya agama untuk dibawa hingga akhir hayat saya,” katanya yang memeluk Islam dengan bantuan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) yang berpusat di Pulau Pinang.
Menceritakan kisah hidupnya, Aishah berkata, keputusannya mahu memeluk Islam tidak mendapat persetujuan daripada keluarga angkat.
"Setahun saya jalani hidup sebagai Muslim tanpa pengetahuan mereka, tetapi lama-kelamaan mereka dapat tahu, walaupun kini hubungan kami tidaklah sebaik dahulu, saya tetap mendoakan kesejahteraan untuk mereka,” katanya.
Sempena Ramadan ini, Aishah yang mahir berbahasa Hokkien, Kantonis dan Mandarin berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik dengan mengikuti kelas agama dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Perkim.
"Dua tahun lalu puasa pun tak penuh, begitu juga solat, saya harap dengan dorongan rakan-rakan Muslim lain yang menerima saya seadanya dapat membuatkan jiwa saya lebih kuat.
"Apa saya boleh katakan, Islam itu agama yang hebat dan saya bersyukur diberikan hidayah mengenalinya,” katanya.
Dia ditemui pemberita pada program pemberian sumbangan sempena Ramadan anjuran Perkim Cawangan Kampung Paloh dan Pertubuhan Muallaf India SeMalaysia (Mira) di Masjid Paloh semalam.
Dalam majlis itu, seramai 60 asnaf kalangan mualaf menerima bantuan berupa barangan keperluan harian.
Pengerusi Mira Perak, Muhd Hani Waran berkata, bantuan sama turut diberikan kepada 20 keluarga bukan Islam yang kurang berkemampuan dari sekitar Ipoh.
"Ini merupakan tahun ketiga program ini diadakan dan kita turut meraikan mereka yang bukan Islam sebagai tanda persaudaraan sesama masyarakat.
"Semoga dengan usaha kecil ini akan membuka hati dan mengubah persepsi masyarakat lain untuk melihat Islam sebagai agama yang penuh dengan kasih sayang,” katanya.