SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Arwah ada beritahu yang dia nak pergi berehat selepas selesai semuanya, tetapi nampaknya dia betul-betul 'rehat'.
Demikian kata Maniliza Abdul Hamid, 47, isteri kepada Ketua Jurulatih Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Negeri Sembilan, Allahyarham Muhammad Noh Muhammad Isa, 53, yang meninggal dunia selepas rebah ketika perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Sembilan, di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini pada pagi Khamis.
Menurut ibu kepada tiga anak berkenaan, beberapa hari sebelum perbarisan terbabit Allahyarham mengadu kepenatan dan mengatakan beliau mungkin pengsan pada hari perbarisan sebenar.
Bagaimanapun katanya, Allahyarham tetap berkeras untuk meneruskannya kerana merasakan itu tanggungjawabnya sebagai seorang ketua.
"Saya pun tidaklah fikir apa-apa. Tapi pagi sebelum ke perbarisan itu pun saya dah nampak muka dia pucat ketika bersarapan pagi. Tapi bila saya tanya dia beritahu baik-baik saja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jiboi Ampangan di sini pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Rebah ketika lintas hormat, anggota Rela meninggal dunia
Tambahnya, Allahyarham sememangnya ada masalah kesihatan tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan lanjut di hospital melainkan hanya makan ubat tahan sakit.
Sementara itu anak keduanya, Ahmad Harraz, 20, yang turut serta dalam perbarisan terbabit berkata, sebelum kejadian itu ayah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik dan tetap bersemangat seperti biasa.
"31 Ogos ini memang tarikh yang ditunggu-tunggu oleh ayah untuk beraksi kerana dia nak memastikan kontinjen Rela ini disegani orang ramai.
Anak kedua dari tiga beradik itu berkata, ketika kejadian, dia sempat memaut ayahnya yang rebah tetapi terlepas dan meneruskan perbarisan seperti biasa kerana ada anggota lain menyambutnya.
"Lagi pun perkara biasa peserta perbarisan rebah atau pitam. Selepas selesai perbarisan saya rasa tak sedap hati dan terus ke hospital.
"Namun sebaik sampai, saya diberitahu ayah sudah meninggal dunia. Sebagai anak lelaki tunggal ayah selalu pesan untuk jaga keluarga jika berlaku apa-apa padanya dan selalu berpesan jangan tinggal solat dan solat di awal waktu," katanya.
Terdahulu keluarga terbabit menerima kunjungan daripada Rela Negeri Sembilan dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir.
Sementara, Pengarah Rela Negeri Sembilan, Penolong Pesuruhjaya Rela Muhammad Faiz Musa berkata, Allahyarham boleh dianggap sebagai 'permata' dalam Rela Negeri Sembilan malah watak penting dalam pasukan berkenaan.
"Jika ada apa-apa acara yang memerlukan khidmat ramai anggota Rela, dia dapat mengumpul anggota dalam masa singkat. Bagi saya, pemergiannya umpama kehilangan satu permata dalam Rela," katanya.