Kita baru sahaja menyambut Hari Kebangsaan ke-66 dan tidak lama lagi, kita juga akan menyambut Hari Malaysia yang ke-60.
Saya mula berkongsi nukilan saya mengenai tanah air kita yang tercinta sejak dua tahun lalu, ketika dunia dilanda pandemik. Tahun ini, kita benar-benar mempunyai sebab untuk terus berasa optimis.
Kita telah menyaksikan Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Proses demokrasi ini dihormati pada semua peringkat, dan diikuti peralihan kuasa secara aman pada semua peringkat Persekutuan.
YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 24 November 2022, selepas lima hari ketidaktentuan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum yang mengakibatkan parlimen tergantung.
Kebijaksanaan dan bimbingan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah menghasilkan kestabilan politik yang amat diperlukan memandangkan kita kini mempunyai Perdana Menteri yang kelima dalam tempoh kurang daripada lima tahun.
Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, harapan saya adalah supaya kita dapat meredakan kemelut politik dan memfokuskan pada usaha mengembalikan negara kita, Malaysia, ke landasan yang betul.
Namun begitu, terdapat segelintir ahli politik yang masih enggan menerima ataupun sengaja mengabaikan mandat pengundi dan institusi diraja.
Cabaran
Perkara ini amat membimbangkan, terutamanya ketika kita sedang menghadapi cabaran global, inflasi yang melambung tinggi, polarisasi yang semakin mendalam dan ketidaksamaan yang semakin meluas sekaligus menimbulkan cabaran-cabaran yang lebih besar di seluruh dunia.
Tambahan lagi, peperangan yang melanda Eropah, ketegangan yang semakin meningkat di antara Amerika Syarikat dan China, serta perkembangan pesat teknologi adalah antara faktor yang menyebabkan ketidaktentuan yang melampau.
Lebih-lebih lagi, kita juga diancam oleh perubahan iklim yang menggugat kelangsungan kehidupan manusia sejagat. Bumi kita benar-benar membara dan sedang tenggelam.
Sebagaimana yang diujarkan oleh António Guterres selaku Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),"Era pemanasan global telah berakhir. Era pendidihan global sudah tiba”.
Justeru, kita mestilah bertindak dengan segera.
Dari sudut politik pula, Kerajaan Perpaduan kita kini telah mentadbir negara selama sembilan bulan.
Kerajaan berkuasa dengan janji-janji reformasi untuk membentuk semula negara yang tercalar dengan rasuah, cacat dengan ketidaksamaan dan dipisah oleh golongan ekstremis kaum dan agama.
Bak kata pepatah, ‘Barang yang dikata, itulah kota’.
Pihak kerajaan mula mentadbir urus dengan baik dengan melaksanakan beberapa reformasi institusi. Ini termasuklah jaminan kebebasan badan kehakiman dan memastikan agensi penguatkuasaan kita dapat memainkan peranan mereka tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Ia akan mengambil sedikit masa untuk reformasi ini menjadi benar-benar berkesan, namun perubahan-perubahan yang dilaksanakan jelas menunjukkan bahawa kerajaan kita bertekad untuk menunaikan janji mereka.
Khususnya, saya mengalu-alukan komitmen Perdana Menteri untuk membanteras rasuah yang telah menjadi endemik di negara kita.
Sudah tentunya, Datuk Seri Anwar tidak mempunyai kuasa yang sepenuhnya untuk menangani isu tersebut memandangkan realiti politik dan cabaran ekonomi. Namun begitu, konsep MADANI yang digariskan oleh Perdana Menteri menunjukkan anjakan dalam dasar, strategi dan hala tuju ekonomi negara.
Bukan sekadar pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), konsep MADANI juga menekankan faktor sosial dan budaya dalam membina sebuah Malaysia yang lebih saksama.
Bebanan rakyat
Namun, keperluan yang lebih mendesak adalah untuk kerajaan memberi tumpuan yang sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup rakyat.
Adalah sukar untuk rakyat memahami polisi negara apabila mereka saban hari perlu risau akan kelangsungan hidup mereka seperti mencari kerja yang bersesuaian, mencari jalan untuk membayar sewa atau pinjaman atau pun berfikir bagaimana mencari sesuap nasi untuk keluarga.
Oleh itu, menyelesaikan masalah sara hidup rakyat pasti akan juga membantu kerajaan mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk mengukuhkan lagi kestabilan politik dan ekonomi negara.
Ini amat penting terutamanya untuk membantu menentang suara ekstremis dalam isu-isu perkauman dan agama.
Media sosial juga jelas terlibat dalam membantu sesetengah pihak menyebarkan mesej yang memecah-belahkan, mengganggu dan menghasut orang ramai. Jika tidak dibendung, masalah ini pasti akan memutuskan ikatan yang menghubungkan masyarakat kita yang berbilang kaum, agama dan budaya.
Warga Malaysia yang dikasihi, biarlah belas kasihan, keadilan dan kerendahan hati membimbing kita dalam misi ini.
Kita teguh bersama dalam usaha ini.
Memetik kata-kata Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj;
"Kita semua rakyat Malaysia. Hubungan ini menyatukan kita semua. Sentiasalah ingat bahawa perpaduan adalah tonggak kekuatan kita sebagai rakyat dan juga sebagai negara,”.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan.
Tan Sri Dr Jeffrey Cheah
Warganegara Malaysia yang bertekad